Nadal rebah ketika sidang media

0

DIPAKSA KERJA KERAS: Bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal mengembalikan pukulan kepada David Nalbandian dari Argentina pada pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat di Flushing Meadows, New York semalam. Nadal menang 7-6 (7/5), 6-1 dan 7-5. — Gambar Reuters

Juara bertahan Terbuka AS mengalami kekejangan teruk selepas menang

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS): Juara bertahan, Rafael Nadal mengejutkan pentas Terbuka AS Ahad lepas (awal pagi Isnin waktu Malaysia) apabila mengalami kekejangan teruk semasa satu sidang media sementara Andy Murray terus berada di atas landasan untuk bertemu dengan Nadal di peringkat separuh akhir.

Nadal, 25, bercakap kepada wartawan, dua jam selepas kemenangan pusingan ketiga ke atas David Nalbandian, apabila beliau mula merasai kesakitan dan tiba-tiba menyandar kesakitan di kerusinya.

Pemain nombor dua dunia itu, juara 10 kejohanan grand slam setakat ini, kemudian merebahkan diri ke lantai ketika kakitangan perubatan kejohanan dipanggil.

Beberapa wartawan dan jurukamera diarahkan keluar dari bilik sidang media di Stadium Arthur Ashe.

Bagaimanapun, selepas 15 minit rawatan, Nadal kembali berdiri dan menegaskan ia hanya masalah kekejangan.

“Ia hanya kekejangan pada kaki kanan. Ia sangat sakit, itu sahaja,” kata Nadal, yang meneruskan sidang media dengan hanya berdiri.

Beliau berkata kejadian itu tidak menjejaskan persiapannya untuk perlawanan pusingan keempat menentang Gilles Muller dari Luxembourg, dijadualkan hari ini.

“Saya akan berlatih seperti biasa pada hari Isnin. Ia hanya kekejangan biasa yang boleh berlaku di mana-mana, tetapi malangnya ia berlaku dalam bilik media. Jika di tempat lain, tiada siapa akan tahu.”

Semasa kemenangan 7-6 (7/5), 6-1 dan 7-5 ke atas Nalbandian, berlangsung lebih dua jam dan 39 minit, cuaca panas 29 darjah celsius menyebabkan Nadal juga memerlukan rawatan kaki kanannya yang melecet.

Muller, yang melangkah ke pusingan keempat dengan menewaskan Igor Kunitsyn 6-1, 6-4 dan 6-4, pernah mengejutkan Nadal di Wimbledon pada 2005 sebelum Nadal menebus kekecewaannya itu tahun ini di tempat yang sama.

Murray, pilihan keempat kejohanan dan naib juara pada 2008, mencipta kemenangan keenam dari enam perlawanan menentang Feliciano Lopez 6-1, 6-4 dan 6-2.

Murray, yang bangkit dari ketinggalan 0-2 sebelum menewaskan Robin Haase pada pusingan kedua, tidak menghadapi banyak masalah untuk meneruskan kemaraan.

Beliau akan menentang pemain ‘wildcard’ tuan rumah, Donald Young, yang mengejutkan pilihan ke-24 dari Argentina, Juan Ignacio Chela 7-5, 6-4 dan 6-3.

Pilihan ke-18 dari Argentina, Juan Martin del Potro, juara 2009 yang tidak bermain tahun lepas kerana kecederaan pergelangan tangan, menyaksikan impian beliau mengulangi kejayaannya dimusnahkan oleh Gilles Simon pada pertarungan selama empat jam.

Simon, pilihan ke-12 dari Perancis, menempah tempat ke pusingan keempat buat kali pertama pada kejohanan grand slam dengan kemenangan 4-6, 7-6 (7/5), 6-2, 7-6 dan (7/3).

Simon akan menentang pemain tuan rumah, John Isner, pilihan ke-28, yang menewaskan rakan senegara, Alex Bogomolov 7-6 (11/9), 6-4 dan 6-4.

Pilihan kelima dari Sepanyol, David Ferrer, menewaskan pilihan ke-26 dari Jerman, Florian Mayer 6-1, 6-2 dan 7-6(7/2) dan akan menentang juara 2003, Andy Roddick.

Roddick, jaguh tuan rumah, menewaskan pemain ‘wildcard’ Perancis, Julien Benneteau 6-1, 6-4 dan 7-6 (7/5). — AFP