Tuesday, September 17
September 16

PKR terlalu awal bermimpi

0

Anwar menyatakan mereka akan beri impak besar pada PRU kononnya berdasarkan penurunan populariti Najib

JAMES MASING

KUCHING: Terlalu awal untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) bermimpi pada siang hari bahawa mereka akan dapat memberi impak yang besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing (gambar) ketika dihubungi berkata: “Saya tidak percaya PKR dapat memberi impak yang besar pada PRU akan datang.

“Saya yakin Barisan Nasional (BN) Negeri akan dapat mempertahankan kesemua kerusi kawasan Parlimen yang disandang ketika ini pada PRU akan datang,” katanya.

Isnin lepas, Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kunjungan ke Sarawak menyatakan keyakinan bahawa mereka akan dapat memberi impak yang besar pada PRU-13.

Keyakinan itu menurut Anwar adalah berdasarkan kepada hasil tinjauan yang menunjukkan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang semakin menurun.

Masing yang juga merupakan Menteri Kemajuan Tanah bagaimanapun menepis kenyataan itu dan berkata tahap populariti seseorang itu adalah bergantung kepada responden itu sendiri.

“Pernahkah Anwar memberitahu sejauh mana popularitinya ketika ini, sama ada ia semakin menurun atau meningkat.

“Menurut apa yang saya tahu, tinjauan tersebut hanya menunjukkan lima peratus penurunan terhadap populariti PM dan ia adalah bergantung kepada responden yang dinilai.

“Jika anda adalah penyokong PKR sudah pasti akan mengatakan bahawa populariti PM semakin menurun dan begitulah sebaliknya,” ujarnya.

Pada PRU 2006, BN Sarawak memenangi 30 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan hanya Parlimen Bandar Kuching jatuh ke tangan calon DAP, Chong Chieng Jen.

Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang diadakan pada 2010 berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau, menyaksikan kerusi tersebut bertukar tangan kepada DAP setelah calon BN tewas kepada calon DAP Wong Hong Leng.

Ditanya mengenai perkembangan PRS, Masing berkata setakat ini masih belum ada perbincangan dibuat berhubung calon-calon yang akan bertanding pada PRU-13.

Katanya, masih terlalu awal untuk membincangkan perkara ini, bagaimanapun jentera PRS sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi PRU.