DUN Nangka perantaraan Sibu dan SCORE

0

TERTARIK: Taib dan Ragad kelihatan tertarik dengan cenderamata berupa kristal yang disampaikan oleh Dr Annuar (kiri) kepada mereka pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Bahagian Sibu, malam kelmarin.

Penduduk di wilayah tengah Sibu tetap menerima tempias pembangunan ekonomi: Dr Annuar

SIBU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka berupaya menjadi pengantara kepada Sibu dan wilayah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) meskipun berada di luar lingkungan pembangunan SCORE.

Namun, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee, ini tidak bererti rakyat di DUN itu tidak boleh mendapat faedah atau menikmati percikan ekonomi daripada kawasan itu.

“Sebab itu, kita harus mempunyai fikiran inovatif dan mempunyai pemahaman yang baik serta gambaran yang lebih luas terhadap pembangunan SCORE.

“Kita di sini khususnya di DUN Nangka berupaya menjadi tapak untuk membekalkan keperluan teknikal dan menyediakan barangan keperluan kepada SCORE jika bijak mengambil peluang dari perkara yang saya katakan tadi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Bahagian Sibu Bersama Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib yang berlangsung di RH Hotel di sini, malam kelmarin.

Selain Ketua Menteri dan isteri, majlis itu dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker DUN, Dato Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Tan Sri William Mawan Ikom serta Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh.

Turut hadir ialah Menteri Muda Pelancongan, Datuk Talip Zulpilip, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri merangkap Menteri Muda Majlis Luar Bandar, Datuk John Sikie Tayai, ADUN Jemoreng merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie dan ADUN Tamin, Joseph Mauh Ikeh.

Dengan keupayaan menjadi pembekal keperluan teknikal kepada wilayah SCORE, Dr Annuar optimis bahawa kewujudan Kolej Laila Taib (KLT) di sini, meningkatkan lagi potensi ke arah itu bagi memberi latihan teknikal kepada penduduk khususnya golongan muda bagi keperluan tenaga kerja dalam SCORE kelak.

“Kerajaan melalui Ketua Menteri, telah mengambil langkah yang jauh ke hadapan dengan menaik taraf KLT yang berada di kawasan kita ini kepada sebuah universiti yang akan menawarkan kursus-kursus ijazah mulai tahun hadapan bagi melahirkan tenaga yang diperlukan oleh SCORE di masa akan datang.

“Bukan itu sahaja, kerajaan telah memperuntukkan berjuta ringgit untuk tujuan memperbesarkan kolej bagi menampung keperluan dan jumlah pelajar yang kian meningkat,” jelasnya sambil menyifatkan kewujudan KLT itu sudah pasti memberi impak yang cukup besar dan baik bagi imej dan ekonomi penduduk setempat.

Semua itu, ujarnya lagi, akan menjana satu ekonomi yang sangat rancak serta memberi dimensi baru kepada penduduk di DUN Nangka amnya dan kawasan-kawasan yang diliputi SCORE terutamanya di Hab Halal Tanjung Manis.

Beliau memberitahu lagi, DUN Nangka mempunyai kelebihan kerana kedudukan geografi kawasan ini berada antara bandar Sibu yang kian rancak membangun dan wilayah SCORE yang sedang tumbuh pesat.

Sehubungan itu, Dr Annuar berpendapat, dengan ilmu sahaja mampu membina seorang insan dan tanpa ilmu ia tidak akan mampu membawa seseorang itu ke mana-mana.

Beliau juga mahu semua masyarakat harus memastikan setiap generasi akan datang dilengkapi ilmu pengetahuan yang secukupnya dalam apa saja bidang bagi penduduk di sini bersedia menempuhi Wawasan 2020 melalui gagasan kemakmuran gelombang kedua iaitu menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi melalui SCORE.

“Seperti saya katakan awal tadi, SCORE memerlukan tenaga mahir di kalangan rakyatnya. Pokok pangkalnya ialah ilmu pengetahuan. Saya sendiri secara peribadi meletakkan pendidikan atau ilmu pengetahuan sebagai agenda utama kepimpinan saya sebagai wakil rakyat di kawasan Nangka,” tambah beliau lagi.