Haramkan Mat Sabu ke Sarawak

0

Kerajaan negeri perlu mengambil tindakan tegas kerana beliau telah menyinggung perasaan orang ramai di negeri ini, kata Ahmad Lai

MIRI: Kerajaan negeri disaran mengambil tindakan tegas terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu termasuk mengharamkannya daripada memasuki Sarawak berikutan kenyataannya baru-baru ini yang memutar-belitkan fakta sejarah negara.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang turut mencadangkan kepada kerajaan persekutuan agar melucutkan taraf kewarganegaraan yang dinikmatinya sekarang.

“Tindakan Mat Sabu adalah salah dan kalau boleh diambil tindakan segera termasuk lucutkan kewarganegaraannya. Saya juga menyeru kerajaan Sarawak jangan menerima dia masuk ke sini kerana akan membuat kacau, sebaliknya sekat dia di lapangan terbang dan hantar dia balik ke mana-mana negeri yang dia suka,” katanta

Menurut beliau, dakwaan Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang menganggapkan Mat Indera, seorang komunis sebagai pejuang negara kerana telah menyerang balai polis di Bukit Kepong yang menyaksikan 25 orang terkorban termasuk anggota polis dan orang awam terus menimbul kemarahan penduduk di negeri ini.

“Kenyataan Mat Sabu seolah-olah dia ingin membangunkan semangat komunis dan apabila mereka (komunis) menyerang kita, negara kita akan huru-hara. Adakah itu yang dikehendaki oleh Mat Sabu?,” soal beliau dalam nada sinis.

“Kalau Mat Sabu nak perkara itu berlaku, lebih baik dia masuk dalam hutan dan jadi komunis. Rakyat Sarawak betul-betul tak berminat dengan apa yang dikatakan oleh Mat Sabu terutama sekali kami di bandar raya Miri yang pada ketika dulu pernah dikacau oleh komunis,” ujar beliau lanjut.

Ahmad Lai berkata demikian ketika ditemui semasa majlis rumah terbuka Hari Raya sempena menyambut kehadiran Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah yang mengadakan kunjungan ke kediaman beliau sekeluarga di Jalan Kampung Luak di sini pagi semalam.

Katanya, komunis pada masa dulu telah mengorbankan sekurang-kurangnya lima platun atau 500 anggota keselamatan termasuk dari Komanwel selain membawa kesengsaraan kepada rakyat dan negara.

“Kini tidak ada lagi fahaman komunis di Sarawak. Justeru, Mat Sabu patut belajar dan membaca sejarah kerana jika semangat komunis dihidupkan semula dan apabila mereka kembali menyerang negara akan huru-hara,” katanya.