Tuesday, September 17
September 16

Langkah SPR pendekatan positif

0

KARIM

DAUD

Ia tarik lebih ramai pemilik tunai tanggungjawab sebagai pemilih

KUCHING: Kemudahan memuat turun borang pendaftaran pemilih atau Borang A oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan satu pendekatan positif yang mampu menarik ramai pemilih untuk menjalankan hak sebagai pengundi.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata ia kerana mengundi sudah menjadi hak kepada semua warganegara Malaysia.

“Sehubungan itu dengan pendekatan berkenaan ia mampu menjadikan rakyat Malaysia menggunakan hak mereka sebaik-baiknya semasa pilihan raya.

“Namun pada masa yang sama kita juga mengharapkan SPR bukan sahaja menggunakan pendekatan muat turun borang bahkan juga terus mengisi borang dengan langkah yang sama,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Maka menurut beliau ia membantu mempercepatkan proses kelulusan borang daftar berkenaan.

Bagaimanapun menurut Daud, pendekatan sedemikian mungkin tidak begitu berkesan dilakukan di luar bandar memandangkan ada di antara kawasan mereka tidak mempunyai rangkaian Internet.

“Akan tetapi mungkin kita boleh menggalakkan mereka yang berada di bandar terlebih dahulu sementara di luar bandar, SPR perlu mengadakan banyak kempen di kampung ataupun rumah panjang,” tegasnya sambil berkata sasaran adalah mereka yang berusia 21 tahun ke atas.

Sementara itu Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdul Karim Rahman Hamzah turut melahirkan pendapat yang sama dan berkata ia menyenangkan pemilih yang berjauhan daripada pejabat SPR untuk mendapatkan borang.

“Lagipun masalah sekarang ini adalah kekurangan borang daftar pemilih di pejabat SPR.

“Dan bagi mereka yang tinggal berjauhan dengan pejabat sudah pasti menjadi kesukaran kepada mereka untuk pergi mendapatkan borang kerana memerlukan perjalanan jauh,” katanya.

Karim berkata meskipun adanya pendekatan berkenaan, SPR juga masih perlu berganding bahu dengan agensi-agensi kerajaan lain.

“Misalnya dengan Pejabat Daerah, Pejabat Pos dan parti politik terutamanya membantu mereka yang tinggal jauh di pedalaman.

“Di mana mereka ini tidak ada kemudahan seperti jalur lebar, WiFi atau telefon yang membolehkan mereka mendaftar dengan mudah,” tegasnya.

Kata Karim, ia bagi menggelakkan hanya mereka yang berada di bandar sahaja yang mampu menikmati kemudahan itu sementara di luar bandar atau yang tinggal jauh masih menghadapi kesukaran.

BERNAMA semalam dipetik sebagai berkata SPR mulai semalam menyediakan kemudahan muat turun borang pendaftaran pemilih atau Borang A menerusi laman sesawangnya www.spr.gov.my.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, kemudahan memuat turun Borang A secara online itu bertujuan menggalakakn lebih ramai warganegara Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas mendaftar sebagai pemilih.

“Kemudahan ini disediakan kepada Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) dan orang ramai, kemudahan ini juga membolehkan semua PPP yang dilantik SPR memuat turun borang A mengikut keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.