Lebih 2,000 penduduk di Sepupok bakal nikmati air bersih, kata Rosey

0

KUNJUNGAN: TYT dan isteri ketika mengadakan kunjungan Hari Raya ke kediaman Rosey (duduk kanan) di Taman Bumiko pagi semalam.

Kerja pemasangan paip utama sedang dijalankan dan dijangka siap 2012

MIRI: Lebih 2,000 penduduk di Skim Rancangan Sepupok, Niah akan dapat menikmati bekalan air bersih apabila projek air bersih ke kawasan berkenaan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bekenu, Rosey Yunus berkata buat masa sekarang, pihak kontraktor dilantik sedang melakukan kerja-kerja pemasangan paip utama ke kawasan berkenaan.

Justeru katanya, beliau berharap projek bekalan air bersih yang bermula sejak Mei lalu dapat disiapkan pada pertengahan tahun depan.

“Kita menyasarkan projek berkenaan yang telah bermula sejak penghujung bulan Mei lalu dapat disiapkan sepenuhnya pada pertengahan tahun depan bagi membolehkan penduduk di Skim Rancangan Sepupok menikmati bekalan air bersih,” katanya.

“Pun begitu, ia turut bergantung kepada keadaan cuaca.

Kalau keadaan cuaca mengizinkan, maka kerja-kerja pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan cepat dan begitu juga sebaliknya,” ujar beliau lanjut.

Rosey memberitahu demikian ketika ditemui di rumahnya sementara menunggu ketibaan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah serta rombongan untuk mengadakan kunjungan Hari Raya ke kediaman beliau di Taman Bumiko di sini pagi semalam.

Sesungguhnya menurut beliau, penduduk di kawasan berkenaan telah lama mengimpikan untuk mendapat kemudahan bekalan air bersih.

Dalam pada itu, menyentuh tentang perkembangan projek pembinaan Pasar Besar Bekenu, beliau memberitahu buat masa sekarang tender bagi projek berkenaan telah dikeluarkan dan kini hanya perlu menunggu proses teknikal sahaja.

Katanya, projek pasar berkenaan yang menelan kos berjumlah RM2 juta akan dibangunkan di kawasan Kampung Dagang, Bekenu iaitu berhampiran pekan Bekenu yang ada sekarang serta dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tamu untuk penduduk setempat memasarkan hasil pertanian mereka.