Liew perjelas ketidakhadiran pada majlis rumah terbuka KM

0

KOTA KINABALU: Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong menyifatkan dakwaan bahawa LDP memboikot majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri dan Kabinet Negeri di Kompleks Sukan Likas baru-baru ini sebagai kurang matang.

Katanya, kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, melalui dada-dada akhbar kelmarin tidak seharusnya diluahkan oleh seorang pemimpin yang dihormati, lebih-lebih lagi semasa perayaan Hari Raya ini.

“Saya berasa kecewa dengan kenyataan Salleh yang kurang tepat seperti yang didakwa terhadap para pemimpin LDP, sedangkan Ketua Pemuda dan Pengerusi Bahagian parti ada pada ketika itu, cuma kehadiran mereka tidak disedari ekoran kesesakan ribuan jemputan yang hadir,” kata Liew

Beliau berkata demikian ketika dihubungi wartawan di sini kelmarin bagi mendapatkan komen apakah benar pemimpin LDP sibuk atau sengaja memboikot majlis rumah terbuka tersebut.

Menurut Liew, tidak seperti tahun lepas, jemputan rumah terbuka Aidilfitri KM dan Kabinet Negeri diadakan pada hari pertama, namun pada tahun ini ia diadakan pada hari kedua apabila ramai pemimpin LDP termasuk beliau terpaksa balik ke kawasan masing-masing untuk berhari raya bersama penduduk yang telah dijadualkan lebih awal.

“Sepertimana yang dinyatakan sendiri oleh Salleh bahawa kami telah bertemu pada hari pertama Hari Raya di Istana Negeri bersama Yang di-Pertua Negeri, di samping saling bersalaman bersama pemimpin dan ahli Kabinet yang lain,” katanya.

Tambahnya, ramai lagi pemimpin negeri yang tidak hadir pada Rumah Terbuka Perdana Menteri di Kuala Lumpur dan mereka juga seharusnya boleh dianggap sebagai memboikot Kerajaan Persekutuan.

“Manakala rumah terbuka Naib Presiden UMNO Datuk Shafie Apdal di Semporna dan ADUN Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail di Papar pula diadakan pada Hari Raya ketiga dan keempat, iaitu bukan pada hari yang sama rumah terbuka KM dan Kabinet,” jelas Liew lagi.

Beliau turut tidak berhasrat untuk memanjangkan isu berkenaan demi menghormati sambutan Hari Raya yang masih lagi diraikan.

“Bersempena dengan semangat Hari Raya, saya ingin memohon maaf zahir batin kepada mereka yang tersinggung dengan tindakan saya dalam segala hal yang tidak disengajakan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung LDP Datuk Teo Chee Kang berpendapat bahawa para pemimpin tidak seharusnya terlalu sensitif dengan sesuatu perkara kerana ia hanya akan menimbulkan isu.