Tuesday, November 12

Pang: Siasat kes rusuhan bersenjata dengan rapi

0

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai Pang Yuk Ming menggesa pihak polis supaya membuat siasatan rapi dan terperinci berhubung kes pergaduhan bersenjata secara berkumpulan yang berlaku di Kampung Sungai Imam pada Hari Raya kedua lalu.

Pang berkata, perkembangan terkini di kampung itu menyaksikan terdapat aduan penduduk yang sudah mula hilang keyakinan terhadap cara pihak polis menangani kes-kes pergaduhan, malah mereka juga bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga.

“Oleh itu, kita meminta supaya pihak polis membuat siasatan rapi tentang kes ini dan mengembalikan semula keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Tambahnya, pihak polis perlu mengambil tindakan segera dan bersiap sedia untuk berhadapan situasi-situasi sedemikian rupa agar kualiti perkhidmatan dan persepsi masyarakat dapat diubah ke arah yang lebih positif.

Pang berkata, berdasarkan aduan awam yang diterimanya setakat ini rasa tidak puas hati masyarakat sering berkisar kepada pihak polis yang dikatakan menolak laporan, lambat bertindak dan banyak kes jenayah yang dilaporkan masih belum selesai.

Mengenai kes pergaduhan di Kampung Sungai Imam pula, beliau menjelaskan ada dalam kalangan penduduk kampung yang pergi menemuinya sendiri dan meluahkan kebimbangan tentang tahap keselamatan di kampung itu sekiranya kejadian serupa berulang.

Pada masa sama, Pang mengakui bahawa beliau berada di lokasi kejadian pada hari insiden terbabit berlaku dan sempat menyaksikan sendiri kumpulan lelaki terbabit yang bertindak ala samseng di kampung itu.

“Saya amat berharap agar kes-kes sebegini ditangani lebih awal oleh pihak berkaitan kerana kita tidak mahu insiden pergaduhan sebegini terus berlarutan sehingga menimbulkan ketakutan kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyeru para ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak masing-masing dan memastikan mereka terhindar daripada sebarang gejala jenayah serta bermuafakat untuk mengadakan kawalan keselamatan dalam kampung.