Thursday, September 19

Rumah kakitangan k’jaan diroboh untuk pembangunan Bandar Baru Sri Aman

0

MENYEMBAH BUMI: Sebahagian daripada rumah milik kakitangan kerajaan yang dibina daripada kayu, dirobohkan bagi memberi laluan terhadap perlaksanaan Projek Bandar Baru Sri Aman.

SRI AMAN: Rumah kayu milik kakitangan kerajaan di kawasan Jalan Resak sedang rancak dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek Bandar Baru Sri Aman Fasa II.

Tapak kuarters milik kakitangan kerajaan itu adalah merupakan tapak Projek Bandar Baru Sri Aman Fasa II yang sedang rancak dilaksanakan ketika ini.

Sehubungan itu dengan ‘musnahnya’ rumah kakitangan itu maka segala nostalgia yang pernah berlaku lebih daripada 20 tahun lalu akan hilang ditelan zaman.

Seorang kakitangan kerajaan yang dikenali sebagai Edward memberitahu, rumah berkayu milik kakitangan kerajaan itu adalah pembangunan awal Bandar Sri Aman sebelum melangkah membangun seperti mana kita saksikan ketika ini.

“Bagi saya, runtuhnya rumah milik kakitangan kerajaan di sepanjang Jalan Resak itu adalah lonjakan transformasi pembangunan yang sedang rancak berlaku di Bandar Sri Aman,” katanya kepada Utusan Borneo, ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, perlaksanaan Bandar Baru Sri Aman Fasa II sepanjang Jalan Resak amat penting dalam menaikkan lagi imej pemodenan bandar Sri Aman kelak..

“Saya amat menyokong sepenuhnya perlaksanaan Bandar Baru Sri Aman bukan sahaja menyaksikan bandar ini rancak membangun malah akan menaiktaraf hidup rakyat akan datang,” katanya.

Buat masa ini tiga buah pasar raya telah memulakan operasi sepenuhnya dalam Bandar Sri Aman Fasa I iaitu One Stop Store Centre, Fair Price dan Doraemon.

Sementara itu hotel tiga bintang pertama dalam Bandar Sri Aman dijangka memulakan operasinya tidak lama lagi.