Tiada pencemaran radioaktif dikesan di Malaysia: Maximus

0

Paras radiologi persekitaran seluruh negara terus dipantau

KUALA LUMPUR: Tiada pencemaran radioaktif dikesan di Malaysia setakat ini selepas insiden nuklear 11 Mac di Stesen Kuasa Nuklear Daiichi Fukushima, Jepun, demikian disahkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Menterinya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), sebagai sebahagian daripada prosedur standard, terus memantau paras radiologi persekitaran seluruh negara menerusi Sistem Pemantauan Radiologi Alam Sekitar.

Sistem itu terletak di tujuh tapak (Chuping, Ipoh, Senai, Melaka, Kuantan, Sri Aman dan Kudat).

“Pembacaan di tapak-tapak ini terus menunjukkan paras yang normal dan selamat untuk semua,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Paras syarat Malaysia yang disifatkan selamat untuk orang ramai ialah 0.5 mikro-Sievert setiap jam.

Bagaimanapun, beliau berkata, AELB akan meneruskan dengan sampel bulanannya, terutamanya untuk air laut seluruh Malaysia di Kota Baharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Mersing, Kuching, Labuan dan Kudat.

Sejak 2 April, pelbagai sampel, termasuk air hujan, air laut, air minuman, tanah dan tumbuh-tumbuhan diambil dari setiap poin seluruh Malaysia bagi memantau kemungkinan pencemaran radioaktif di dalam negara.

Maximus berkata, AELB dan Agensi Nuklear Malaysia akan terus menawar pengimbasan pencemaran individu secara percuma di ibu pejabat masing-masing.

Mereka yang memerlukan pengimbasan dan pengesan produk-produk perindustrian yang diimport dari Jepun boleh membuat pertanyaan dengan ANM di 03-89251201/019-3877609 (Ibrahim Ali) atau 03-89256270/019-3888031 (Zulkifli Hashim), tambah beliau.

Pertanyaan juga boleh dibuat di hotline pusat radiologi maklumat AELB dengan menghubungi talian bebas tol di 1-800-88-7999 atau e-mel di [email protected]. — Bernama