Monday, August 2

Tidak akan bertanding, kata Riot

0

Beliau sebaliknya lebih rela jika ‘mengambil alih’ demi perpaduan parti

KUCHING: Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) SUPP, Datuk Richard Riot Jaem memberitahu beliau tidak akan bertanding untuk jawatan presiden pada Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) parti pada Disember ini.

Katanya, beliau tidak ‘begitu bercita-cita’ untuk menjadi presiden parti.

Ahli Parlimen Serian lima penggal itu memberitahu beliau sudah berpuas hati sekiranya kekal sebagai ahli parti biasa pada TDC itu asalkan parti itu bersatu padu dan kukuh.

“Sekiranya anda tanya sama ada saya akan bertanding (sebagai presiden) dalam TDC akan datang, saya akan katakan tidak.

“Saya tidak begitu bercita-cita tinggi kerana apa yang saya mahukan adalah perpaduan dalam parti dan agar parti semakin kukuh.

“Bagaimanapun, jika parti mahu saya menjadi presiden, saya bersedia dan akan (mengambil alih jawatan itu), tetapi untuk bertanding, saya tidak akan,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Menteri Luar itu turut memberitahu bahawa beliau akan hanya menjadi presiden parti itu sekiranya apa yang ahli parti mahukan dengan berasaskan konsensus.

Semalam, beberapa pemimpin SUPP termasuk presiden Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Timbalan Setiausaha Agung Dato Sri Wong Soon Koh yang tidak mempunyai halangan sekiranya ahli Bumiputera yang menjadi presiden.

Dr Chan memberitahu dengan mempunyai Bumiputera sebagai presiden SUPP tidak pernah menjadi isu memandangkan parti itu pelbagai kaum, manakala Wong memberitahu, bangsa ahli tidak harus diambil kira dalam memilih pemimpin parti.

Dr Chan dan Wong berkata demikian mengulas kenyataan Riot kelmarin yang meluahkan kesediaannya untuk mengambil kedudukan itu demi perpaduan parti.

Riot memberitahu beliau menyambut baik kenyataan itu tetapi meragui sama ada ia dapat direalisasikan, memandangkan majoriti ahli parti adalah kaum Cina.

“Memandangkan majoriti ahli parti adalah Cina, adalah lebih praktikal sekiranya presiden merupakan kaum Cina juga,” katanya secara diplomatik.

Beliau menambah: “Bagaimanapun, untuk mencerminkan komponen pelbagai kaum dalam parti, jika jawatan presiden milik Cina, jawatan timbalannya patut dipegang oleh ahli bukan Cina.”

Sementara itu, Wong dan bendahari parti Datuk David Teng dikatakan akan bertanding merebut jawatan presiden pada TDC Disember ini.

Mengenai perkara ini, Riot sangat berharap bahawa jawatan itu tidak akan dipertandingkan bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.

Beliau berkata, parti itu akan terbahagi jika ada yang akan bertanding untuk presiden kerana akan saling mengalahkan antara satu sama lain untuk menang.

Situasi itu, katanya akan memberi kesan negatif kepada parti, terutamanya dengan pilihan raya umum yang akan datang.