KUCHING: Mahkamah Majistret di sini semalam membebas dan melepaskan seorang bapa daripada tuduhan mencabul kehormatan menantu perempuannya tanpa dipanggil untuk membela diri.
Majistret Syafiza Abdul Razak Tready membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Keputusan itu dibuat selepas tamat kes pendakwaan.
Sebelum ini, tertuduh, 55, didakwa mencabul menantu perempuannya yang berusia 17 tahun di rumah mereka sekitar jam 3 petang pada 17 Jun lalu.
Peguam bela tertuduh, Yap Yau Sin dalam penghujahannya berkata, keterangan mangsa yang juga merupakan pengadu kes itu banyak percanggahan dan tidak konsisten.
Antara kenyataan yang bercanggah itu ialah, pengadu telah memberi keterangan bahawa dia telah digantung dari sekolah kerana masalah disiplin tetapi ibunya menafikan perkara itu, sementara itu ayahnya berkata, dia tidak tahu mengenai penggantungan itu.
Pengadu turut memberi keterangan bahawa dia tidak mengambil alkohol dan merokok, tetapi ibunya memberitahu mahkamah dia merokok dan sebelum ini pernah mengambil alkohol dengan suaminya, iaitu anak kepada tertuduh.
Pengadu juga dia tidak tahu bahawa keluarganya telah meminta RM20,000 untuk menarik balik kes terhadap bapa mentuanya, tetapi ayahnya berkata, tertuduh meminta kes itu ditarik balik dan dia (bapa pengadu) bersetuju dengan syarat bahawa tertuduh membayar RM20,000.
Selain itu, pengadu semasa memberi keterangan menafikan bahawa dia balik dalam keadaan mabuk pada 17 Jun sekitar jam 1 pagi ketika dihantar oleh sepupunya, tetapi bapanya berkata, bahawa anaknya berada di rumah tertuduh pada malam 16 Jun, manakala ibu pengadu pula memberitahu anak diambil oleh suaminya sekitar jam 9 malam pada 16 Jun.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda atau sebat, atau mana-mana dua hukuman itu jika sabit kesalahan.
Makamah turut memerintahkan wang jaminan tertuduh sebanyak RM500 dikembalikan semula.
Pendakwaan dijalankan oleh Inspektor Mathafiz Matlawi.