Cukai: Boikot syarikat telekomunikasi jika mereka teruskan hasrat

2

MIRI: Pengguna talian prabayar perlu memboikot mana-mana syarikat telekomunikasi jika masih meneruskan hasrat untuk mengenakan caj cukai perkhidmatan enam peratus kepada pelanggan.

Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin berkata pengguna mempunyai kuasa mutlak untuk memboikot syarikat berkenaan jika tidak bersetuju dengan caj cukai baru tersebut yang membebankan mereka.

“Telco tidak seharusnya mengenakan caj perkhidmatan enam peratus pada masa ini kerana ia akan membebankan pelanggan yang kebanyakan golongan berpendapatan rendah dan pelajar,” katanya ketika ditemui pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Senadin.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin memberitahu pelanggan syarikat telekomunikasi telah meningkat secara mendadak iaitu mencecah ratusan ribu orang dan syarikat itu boleh mendapat keuntungan besar.

“Sekarang, penggunaan telefon bimbit semakin meluas bukan sahaja untuk menghubungi seseorang tetapi ia juga dapat mendapat Sistem Pesanan Ringkas (SMS), melayari internet dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, syarikat telekomunikasi boleh mendapat keuntungan besar daripada perkhidmatan tersebut dan hasrat untuk mengenakan caj enam peratus perlu dipertimbangkan semula jika mereka tidak mahu kehilangan pelanggan.

“Kita berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) campur tangan dalam isu ini kerana caj baru itu akan membebankan semua pihak terutamanya golongan berpendapatan rendah,” ujarnya.

Menurut beliau syarikat perlu mempunyai tanggungjawab sosial dan bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya mengutamakan kebajikan pelanggan mereka yang semakin ramai.

“Jika mereka (syarikat telekomunikasi) tetap meneruskan hasrat mengenakan caj kepada pelanggan, jadi pengguna boleh menggunakan kuasa mereka untuk memboikot perkhidmatan syarikat terbabit jika kebajikan mereka tidak dijaga,” jelasnya.

Baru-baru ini, industri telekomunikasi tempatan dalam satu kenyataan bersama mengumumkan caj cukai perkhidmatan enam peratus yang sebelum ini diserap syarikat telekomunikasi akan dikenakan bagi pembelian tambah nilai dan pek permulaan kad sim, bermula Khamis depan.