Kakitangan awam ‘hilang’ ditemui mati dalam gaung

0

1. Anggota keselamatan sedang berhempas pulas mengeluarkan mayat mangsa yang dipercayai maut akibat kenderaa dipandunya terjatuh gaung.

KOTA KINABALU: Seorang kakitangan awam maut setelah kenderaan yang dipandunya jatuh ke dalam gaung di sebuah lokasi berhampiran Bukit Padang dekat sini kelmarin.

Mangsa, Thien Siong Sunhan, 28, dipercayai terbunuh dalam insiden berkenaan dan mayat pemuda kelahiran Penampang itu ditemui kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Menurut sumber, mangsa telah keluar dari rumahnya berhampiran lokasi kejadian sejak malam sebelumnya dan dikhabarkan ‘hilang tanpa berita’ sejak itu.

“Mangsa memberitahu saya bahawa dia mahu mengambil kakaknya pada satu lokasi dan sejak itu tidak mendengar beritanya.

“Saya juga cuba menghubungi Thien namun tiada sebarang jawapan. Menurut beberapa saksi, mereka ada mendengar bunyi dentuman seakan sebuah kenderaan terjatuh ke dalam gaung sejak malam semalam,” kata rakan rapat mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Marcilius.

Difahamkan juga mangsa telah ditemui bersama kereta Kancilnya pada waktu itu oleh pemandu tren pengangkat kenderaan yang seterusnya menghubungi pihak polis.