Manfaatkan persekitaran untuk jana ekonomi diri

0

Penduduk perlu peka dan buka mata serta minda: Ding

TAHNIAH: Ding menyampaikan biasiswa kepada salah seorang pelajar yang telah memperolehi keputusan peperiksaan 2010 yang cemerlang dan membanggakan.

SARIKEI: Masyarakat perlu membuka mata dan minda untuk melihat peluang yang ada di persekitaran mereka yang boleh dijadikan sumber bagi menambah serta mendatangkan pendapatan kepada diri dan keluarga.

Ahli Parlimen Sarikei, Ding Koung Hiing berkata, masyarakat di negara ini patut bersyukur kerana banyak peluang yang telah diwujudkan oleh kerajaan untuk mereka ceburi dalam menambahkan pendapatan bagi menjamin keselesaan hidup di masa depan.

“Segala kemudahan yang kita kecapi ini tidak akan dapat kita rasai sekiranya pemimpin kita tidak mempunyai perancangan yang rapi dalam  membentuk pembangunan yang ada.

“Pembangunan dari segi pendidikan, pembinaan, kemudahan infrastruktur dan banyak lagi membolehkan negara kita berkembang dengan pesat serta mampu bersaing dengan negara yang lain,” kata Ding.

Beliau memberitahu demikian pada majlis Sambutan Perayaan Kek Bulan dan Penyerahan Biasiswa kepada pelajar yang memperolehi keputusan peperiksaan cemerlang anjuran Persatuan Wang Yu Chen Sarawak, di salah sebuah restaurant dekat sini, semalam.

Tambahnya, masyarakat jangan hanya menunggu sesuatu yang diberikan sahaja oleh pihak kerajaan baru hendak bergerak tetapi berusaha dengan sendiri dan bergerak aktif merebut setiap peluang yang ada kerana siapa cepat sudah pasti dia yang akan mendapat.

Menurut Ding lagi, peluang untuk masyarakat menjayakan dan memperkembangkan diri sendiri pada masa kini amat besar besar.

“Ini kerana kerajaan banyak menyediakan peluang yang boleh diceburi serta lengkap beberapa kemudahan yang boleh digunakan sebagai sokongan untuk memajukan diri mereka.”

“Perkara ini menunjukkan bahawa kerajaan kita sekarang begitu mementingkan perkembangan dan kemajuan rakyatnya.

“Dengan ini kita berharap masyarakat memberi sokongan yang sepenuhnya kepada kerajaan yang sedia ada pada masa sekarang kerana tiada pihak lain yang mampu berbuat demikian,” tambah Ding lagi.

Di majlis yang sama Ding turut berkata, menyeru kepada masyarakat agar menghargai setiap orang yang berada di persekitaran mereka.

“Jangan kita menunggu apabila setelah seseorang itu sudah tiada baru kita sedar bahawa kita amat memerlukannya.

Dalam pada itu, seramai 13 orang pelajar yang merupakan anak kepada ahli persatuan terbabit telah menerima sumbangan, di mana kesemua mereka ini telah memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan pada tahun lepas.