Tangguh Cukai Perhkhidmatan 6 peratus Telefon Prabayar

0

HADIR…Sairin (empat kanan) menghadiri majlis rumah terbuka Jasni (lima kanan) bergambar bersama Ketua Wanita Umno Keningau, Amelia Ajun (tiga kanan) dan Pegawai Perhubungan Parlimen Keningau, Harry Otigil (empat kiri) serta pemimpin-pemimpin Umno dan BN lain.

KENINGAU: Ketua Umno Bahagian Keningau, Datuk Sairin Karno meminta syarikat telekomunikasi (Telco) untuk menangguhkan hasrat mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar.

Katanya, tindakan itu boleh membebankan pengguna perkhidmatan telefon prabayar tambahan lagi perkara ini belum lagi dibincang oleh jemaah menteri.

“Sebagai wakil rakyat, saya memang tidak bersetuju pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus,” katanya kepada Utusan Borneo selepas melancarkan pertandingan Futsal peringkat Dewan Undangan Negeri Liawan di sini kelmarin.

Sairin yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar menyifatkan tindakan itu amat membebankan rakyat termasuk pelajar-pelajar yang menggunakan perkhidmatan itu.

Katanya, kerajaan perlu memikirkan perkara ini agar tidak membenarkan syarikat berkenaan mengenakan cukai kepada pengguna-pengguna perkhidmatan prabayar memandangkan kebanyakan pengguna di kawasan pedalaman adalah berpendapatan rendah dan sederhana.

“Saya memang membantah dan tidak bersetuju langsung dengan perkara ini kerana ia benar-benar membebankan rakyat. Pada masa ini, rakyat sudah dibebankan dengan kenaikan harga barang keperluan, ditambah lagi dengan cukai perkhidmatan enam peratus bagi pengguna telefon prabayar,” katanya.

Sairin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Liawan berpendapat bahawa semua pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) di pedalaman memang tidak bersetuju tindakan syarikat berkenaan.

Beliau juga berharap syarikat itu menangguhkan hasrat mereka sehingga satu keputusan dibuat oleh kerajaan.

Dalam perkembangan lain, ketika menghadiri majlis rumah terbuka Timbalan Ketua Umno Keningau, Jasni Rahmat, di sini pada Sabtu, beliau turut menyokong penuh usaha Universiti Malaysia Sabah (UMS) mewujudkan pusat asasi sains universiti itu di Keningau yang disifatkan dapat memberikan peluang kepada penduduk tempatan mendapatkan tempat melanjutkan pelajaran mereka di pusat itu.

“Bagi saya, soal tapak tidak menjadi masalah kepada pengwujudan pusat ini di Keningau kerana terdapat 100 ekar tanah disediakan untuk tujuan ini yang terletak di Apin-Apin,” katanya sebagai mengulas kenyataan Naib Canselor UMS, Brig Jen Prof Datuk Seri Panglima Dr Kamaruzaman Ampon yang tersiar di akhbar ini pada Sabtu.

Sairin berkata, selain kajian berhubung dengan kambing dan kerbau, perlu juga dimasukkan ternakan lembu dan kuda selain bidang pertanian.

Sairin yakin atas kerjasama semua penduduk di Apin-Apin, pusat ini dapat diwujudkan di daerah ini seawalnya tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan.