Inter buka tirai dengan kekalahan

0

BANTAH: Pemain-pemain Inter Milan (dari kiri) Wesley Sneijder, Diego Milito, Esteban Cambiasso dan Dejan Stankovic membantah keputusan pengadil ketika menentang Palermo pada perlawanan Serie A di Palermo semalam. Palermo menang 4-3. — Gambar Reuters

Juventus bermula cemerlang apabila menang besar 4-1 ke atas Parma

CERIA: Penyerang Palermo, Fabrizio Miccoli meraikan gol jaringannya ketika menentang Inter Milan di Palermo semalam. — Gambar AFP

ROM, Itali: Palermo mengejutkan Inter Milan dengan kemenangan 4-3 pada hujung minggu pertama musim baru Serie A Itali, ketika Juventus menghadiahkan permulaan cemerlang buat jurulatih barunya, Antonio Conte dengan kemenangan besar 4-1 ke atas Parma di stadium baru mereka Ahad lepas.

Inter mendahului dua kali menerusi Diego Milito sementara Diego Forlan menjaringkan gol saguhati lewat sebelum Fabrizio Milito menjaringkan dua gol dan Abel Hernandez dan Maurizio Pinilla memastikan jurulatih sementara Palermo, Devis Mangia memperolehi permulaan impian sejak dinaik pangkat dari tugas menguruskan pasukan remaja.

“Apa yang paling menggembirakan saya ialah kami tidak berputus asa, kami tidak hilang tenaga walaupun berasa letih pada akhir permainan dan kami juga bergelut dalam permainan,” kata Mangia.

Semua bual bicara sebelum perlawanan adalah tentang tiga pertahanan jurulatih baru Inter, Gian Piero Gasperini dan mereka mempamerkan aksi hambar. Tetapi beliau menafikan mereka menjadi punca kekalahan pasukannya.

“Ia bukan disebabkan sistem pertahanan atau sebagainya, ia adalah kerana kekurangan perhatian selain keletihan pemain,” kata beliau.

“Ia kelihatan pada akhirnya kami bermain dengan baik dan boleh memenangi perlawanan tetapi saya kecewa kami bolos kesemua gol itu.”

Inter membuka jaringan apabila rembatan Dejan Stankovic terkena Milito dan mengelirukan penjaga gol Alexandros Tzorvas pada minit ke-33.

Walaupun dengan gol itu, Gasperini tidak gembira dengan pasukannya dan menggantikan Mauro Zarate, yang membuat penampilan sulungnya, dengan Wesley Sneijder, yang tidak diturunkan dalam kesebelasan utama.

Permulaan separuh masa kedua menyaksikan beberapa gol terhasil dalam masa sembilan minit.

Pertama sekali, Miccoli menyamakan kedudukan sebelum Mattia Silvestre mengasari Walter Samuel dalam kotak penalti yang disempurnakan oleh Milito sebelum Hernandez menyempurnakan satu umpanan cantik dari pergerakan Miccoli dan Josip Illicic untuk mengikat kedudukan.

Miccoli melakukan satu tendangan percuma cantik, empat minit sebelum tamat permainan dan kemudian pemain gantian, Pinilla menjaringkan satu lagi gol cantik seminit selepas itu.

Pada minit kecederaan Forlan, pada penampilan sulungnya, menjaringkan gol ketiga selepas menerima umpanan Sneijder.

Di Turin, Stephan Lichsteiner dan Arturo Vidal, yang membuat penam-pilan sulung, selain Simone Pepe dan Claudio Marchisio, menjaringkan gol kemenangan untuk Juventus.

Bekas penyerang Juventus, Sebastian Giovinco menjaringkan gol saguhati pada minit kecederaan.

Selepas berbelanja besar pada musim panas, Juventus menurunkan lima pemain baru pada perlawanan itu.

Walaupun dengan kemenangan meyakinkan itu, Conte tetap tidak berpuas hati sepenuhnya.

“Dalam separuh masa pertama, ada satu gol sah yang tidak dibenarkan dan kami dinafikan satu peluang tendangan penalti yang sah,” kata Conte.

“Jika tidak, ia satu perlawanan sulung yang hebat. Apa pun, saya tidak mahu menipu sesiapa pun, kami belum sempurna dan masih ada banyak yang perlu dilakukan.”

Mereka berada di hadapan pada minit ke-16 selepas umpanan cantik Andrea Pirlo kepada Lichsteiner, yang menewaskan penjaga gol Antonio Mirante sebelum menolak bola ke pintu gol yang kosong.

Gol kedua hadir empat minit selepas itu apabila Alessandro del Piero mengumpan bola kepada Pepe, yang melakukan rembatan kencang ke pintu gol.

Vidal kemudian menjaringkan gol ketiga dengan rembatan akrobatik dari luar kotak penalti.

Gol keempat juga menarik apabila Pirlo melakukan satu lagi umpanan cantik yang disempurnakan oleh Marchisio.

Luis Enrique memulakan penampilan sulung dalam liga dengan buruk di bangku simpanan apabila pasukannya tewas 1-2 di tempat sendiri kepada Cagliari dan menamatkan permainan dengan 10 pemain. — AFP