Saturday, July 31

Malaysia kuasai acara badminton

0

KUALA LUMPUR: Malaysia mendominasi acara badminton apabila berjaya mengutip empat daripada lima pingat emas yang ditawarkan sekali gus menamatkan saingan pada Temasya Remaja Komanwel yang berlangsung di Isle of Man sejak Rabu lepas dan berakhir pada hari ini (Selasa).

Dengan tamatnya semua acara melibatkan anggota kontinjen negara yang terdiri daripada 18 atlet dari acara badminton, olahraga, berbasikal dan akuatik, maka kontinjen Malaysia keseluruhannya mengutip empat emas, dua perak dan satu gangsa, kesemuanya melalui acara badminton.

Malaysia kini menduduki tangga kelapan pada carta kutipan pingat keseluruhan daripada 63 negara Komanwel yang mengambil bahagian pada temasya itu.

Saingan bagi beberapa acara seperti tinju, gimnastik dan ragbi 7 sebelah masih berlangsung semalam tetapi ia tidak melibatkan sebarang atlet Malaysia.

Sukan Remaja Komanwel bermula dengan edisi pertama di Scotland pada tahun 2000 dan diadakan selang empat tahun sekali namun pada 2005, Persekutuan Sukan Komanwel menetapkan temasya bagi atlet berumur di bawah 18 tahun ini tidak akan diadakan pada tahun Olimpik. — Bernama