Persempadanan: Malaysia runding dengan Brunei

0

TURUN PADANG: Hasbi (kiri) menemani Noh (kanan) bersalaman dengan para nelayan di Limbang semalam.

LIMBANG: Kerajaan akan mengadakan rundingan dan kerjasama dengan negara Brunei untuk mencari penyelesaian berhubung persempadanan maritim bagi menentukan kawasan dibenarkan menangkap ikan oleh 143 nelayan di daerah ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata, rundingan perlu bagi mencari jalan keluar untuk menyelesaikan kemelut dan dilema yang dihadapi nelayan di utara negeri ini.

Beliau berkata lagi, ia juga dapat mengelak nelayan ditangkap oleh pihak berkuasa Brunei atas kesalahan menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Kita (Malaysia) sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan Brunei dalam menyelesaikan isu-isu antarabangsa melibatkan kepentingan dua negara.

“Ia termasuk kelonggaran yang diberikan kepada nelayan mengikut tempoh masa yang dibenarkan untuk mereka menangkap ikan di kawasan dibenarkan,” katanya.

Noh berkata demikian pada Majlis Dialog anjuran Jabatan Perikanan Sarawak bersama nelayan Limbang di sini semalam.

Beliau juga mahu golongan nelayan turut sama memikirkan jalan penyelesaian untuk menangani masalah tersebut.

“Kita mahu nelayan memikirkan kaedah terbaik termasuk mencari kawasan yang sesuai untuk menangkap ikan di perairan tersebut.

“Sebelum ini kerajaan pernah mencadangkan perairan Lawas sebagai kawasan penangkapan ikan,” jelasnya.

Namun katanya lagi, golongan nelayan tidak bersetuju kerana kedudukannya yang agak jauh dan kos minyak yang tinggi untuk ke sampai ke kawasan tersebut.

Noh yakin pertemuan dengan kerajaan Brunei nanti dijangka dapat mencari penyelesaian terbaik agar nelayan tidak berdepan masalah sama.

Sebelum ini nelayan khususnya yang tinggal di kawasan muara Limpaku Pinang pernah ditangkap ketika menangkap ikan kerana memasuki kawasan sempadan.

Golongan nelayan turut mengadu kepayahan kerana ketiadaan tanda pemisahan sempadan di perairan laut antara Malaysia dan Brunei.