Tidak puas hati pembayaran, pemilik tanah mahu tarik balik perjanjian

0

KEMBALIKAN HAK KAMI: Pemilik tanah di Sungai Maong dan Kelimup di kawasan Machantampil bersama Baru semasa perjumpaan mereka di Sibu, semalam.

SIBU: Seramai 163 orang pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang dibangunkan oleh syarikat kelapa sawit ingin menarik perjanjian mereka dengan syarikat terbabit bagi ‘mengambil balik’ tanah mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sarawak, Baru Bian berkata, pemilik tanah yang terbabit ialah dari Sungai Maong dan Kelimup dalam kawasan Machan, yang mendakwa tidak menikmati apa-apa keuntungan melalui perladangan sawit yang diusahakan di atas tanah mereka selama ini.

“Ia melibatkan kira-kira 2,000 hektar tanah penduduk yang dibangunkan oleh pihak berkenaan bagi membantu mereka membangunkan tanah NCR sekali gus mendapat manfaat,” katanya pada sidang media dengan pemberita di sini, semalam.

“Namun, setelah berapa lama, pemilik terbabit tidak dibayar ataupun diberi dividen yang setimpal seperti yang dijanjikan oleh pihak syarikat dengan mereka dahulu.

“Pembangunan melibatkan tanah NCR di kawasan terbabit adalah pada tahun 2000 lalu dan sehingga kini mereka masih belum diberi dividen yang setimpal,” katanya lagi.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Pengerusi PKR Lanang, George Chen dan wakil pemilik tanah terbabit, Bartholomew Aji.

Terdahulu, Baru bersama-sama dengan pemilik tanah terbabit mengadakan perjumpaan bagi mendengar masalah yang dialami oleh mereka.

Menurut Baru lagi, pemilik terbabit sebelum ini turut dijanjikan oleh pihak syarikat berkenaan di mana mereka akan diberi keuntungan sebanyak 30 peratus daripada keuntungan kelapa sawit yang diusahakan itu serta tanah mereka boleh diambil balik selepas 60 tahun tanpa diberikan sebarang hitam putih.

“Mendengar manfaat yang diberikan itu, pemilik terbabit bersetuju untuk menyertai projek pembangunan tersebut. Namun sehingga kini, penduduk berkenaan hanya dibayar sebanyak RM29 per hektar dalam masa setahun bagi keuntungan.

“Manakala bagi dividen pula, pemilik terbabit hanya dibayar sebanyak RM12.50 per hektar pada tiap-tiap bulan. Jumlah itu mana cukup dan tidak setimpal bagi mereka. Perusahaan kelapa sawit ini besar keuntungannya, bukannya sedikit,” tegasnya lagi.

Kata beliau, pemilik tanah terbabit sudah lama bersabar kerana tidak dibayar dividen dan keuntungan yang setimpal seperti yang dijanjikan sebelum ini dan pemilik terbabit ingin menarik balik perjanjian mereka bersama pihak syarikat berkenaan.

“Pemilik tanah terbabit ingin menarik balik perjanjian mereka mengikut cara undang-undang dan kes terbabit sedang berjalan. Mereka telah meminta pertolongan saya dan saya akan bantu. Saya di sini adalah untuk bercakap tentang perkara ini selaku mewakili pihak mereka. Kita berharap ada perkembangan positif yang mampu dicapai nanti,” tambah beliau lagi.