Tingkat penguasaan BI, UCSI, British Council meterai MoU

0

TERMETERAI: Fatimah (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen selepas Majlis menandatangani MoU antara Geikie (dua kiri) dan Deep. Turut kelihatan, Lu (kiri) dan Liew.

KUCHING: UCSI Kampus Sarawak dijangka mampu meningkatkan kecekapan berbahasa Inggeris di kalangan lepasan sekolah di negeri ini dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MOU) dengan British Council semalam.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah menyifatkan kerjasama itu penting kerana menyediakan landasan untuk memperkasakan kemahiran berbahasa Inggeris agar mencapai piawaian antarabangsa.

“Saya percaya kerjasama ini dapat membantu dan mempercepatkan penguasaan bahasa Inggeris khususnya di kalangan lepasan sekolah.

“Kita (kerajaan negeri) melihat ia merupakan sesuatu yang amat penting dalam meningkatkan kemahiran dan kecekapan pelajar dalam Bahasa Inggeris agar setaraf dengan standard antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU antara UCSI dengan Bristish Council di UCSI University Kampus Sarawak, di sini.

Fatimah berkata, kemahiran itu sekali gus memberi kelebihan kepada mereka sekiranya mereka mahu menyambung pelajaran baik di peringkat tempatan, mahupun di luar negara.

“Seperti apa yang kita ketahui, bahasa Inggeris merupakan bahasa penting dalam memperolehi ilmu dan digunakan diseluruh dunia,” katanya.

MOU itu ditandatangani oleh Pengarah UCSI Extension Gracie Geikie, dan Timbalan Pengurus Pemeriksaan Negara British Council Deep Adhikari sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi UCSI Lu Huong Ying, dan Pengurus Pendidikan dan Pemeriksaan British Council Gabriel Liew.

IELTS merupakan peperiksaan bahasa Inggeris terkemuka di dunia untuk menguji kebolehan berkomunikasi dalam bahasa pertama itu untuk pendidikan, berhijrah dan untuk mendapatkan akreditasi profesional.

UCSI Extension juga mahu menarik calon-calon dari negara jiran, khususnya dari Pontianak di Indonesia.

Pakej pembelajaran ini juga merangkumi penginapan dan pengangkutan.

Fokus diberi dalam kemahiran berbahasa dengan penekanan dalam pendengaran, bacaan akademik, penulisan dan lisan.

Sementara itu, Deep memberitahu, MoU itu menjadikan UCSI sebagai pusat sehenti dengan memberi keselesaan kepada pelajar UCSI Extension kerana membolehkan calon mendaftar, menduduki pemeriksaan dan mengetahui keputusan peperiksaan IELTS (Sistem Peperiksaan Bahasa Inggeris Antarabangsa) di kampus tersebut.

“Keselesaan calon-calon IELTS merupakan satu keutamaan British Council dan kita juga bekerjasama dengan Kumpulan UCSI di Kuala Lumpur … berdasarkan maklum balas positif dari pelajar, kita jalinkan kerjasama ini dengan UCSI Kuching,” katanya.