Kecekapan guru BI di Sarawak akan diperkasa

0

Ramai sudah jalani kursus MBMMBI menjelang penguatkuasaannya tahun depan

KUCHING: Tahap keberkesanan dan kecekapan guru Bahasa Inggeris (BI) di Sarawak diperkasa dengan semua aktiviti yang dijalankan di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Penggunaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang bakal berkuat kuasa tahun depan.

Menurut Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah, ramai guru di negeri sudah menjalani kursus atau latihan dalam menghadapi dasar MBMMBI yang menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Kementerian Pendidikan menyasar untuk melatih 10,000 guru BI pada 2011 bagi meningkatkan kecekapan mereka dalam mengajar subjek itu, dan hampir 12,000 guru menghadiri program khas yang diadakan pada tahun lepas.

“Semua aktiviti yang dijalankan dalam aktiviti MBMMBI, dalam kes ini MBI, menyasar untuk mempertingkatkan pembangunan profesional guru agar menjadi guru Bahasa Inggeris yang cekap dan berkemahiran,” katanya.

Fatimah berkata, tiga aktiviti utama yang diadakan adalah seperti kursus kecekapan dan pedagogikal yang diadakan dengan usaha sama institusi perguruan, Kursus Pendek Kelolaan Institut (KPKI) dan Program Penutur Asli.

Menurutnya, tahun lepas di Sarawak, seramai 1112 guru menyertai kursus kecekapan dan 750 guru menyertai kursus padogogi manakala tahun ini hanya kursus kecekapan ditawarkan dengan penyertaan seramai 532 guru.

Bagi KPKI yang diadakan selama 11 kali pula disertai oleh 396 guru.

Beliau memberitahu setakat Julai ini, Sarawak yang menyasar untuk mempunyai 60 penutur asli mempunyai sebanyak 43 orang penutur asli setakat Julai lalu.

Fatimah turut menambah bahawa sukatan pelajaran dan buku teks juga sedang diteliti dalam usaha meningkatkan kecekapan dalam bahasa Inggeris.

“Kita juga perlu melihat kelayakan individu yang akan dilatih sebagai guru Bahasa Inggeris dan latihan yang mereka lalui,” katanya lagi.