Pemaju perlu kebenaran sebelum buat perubahan

0

Sebarang perubahan dalam perjanjian jual beli rumah perlu dibenarkan oleh kontroler perumahan, kata TTPR

KUCHING: Pemaju perumahan diingatkan supaya mendapatkan kebenaran daripada Kontroler Perumahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan dalam perjanjian jual beli bersama pelanggan.

Pengerusi Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPR) Datuk Maznah Dasmi berkata, ia termasuk pemaju yang ingin mengemukakan Perjanjian Tambahan kepada pembeli.

“Dalam Perjanjian Jual Beli (S&P), pemaju perlu menggunakan Borang G (Perjanjian Jual Beli) bersama pembeli.

“Namun sekiranya pemaju ingin melakukan sebarang perubahan dalam Borang G, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada kontroler perumahan yang merupakan prosedur ditetapkan,” kata-nya kepada pemberita.

Beliau terdahulu mengadili pendengaran kes antara seorang penuntut yang menuntut bayaran kepada pemaju atas kelewatan selama 15 bulan menerima rumahnya di TTPR di DUN Lama sini, semalam.

Dalam kes berkenaan, pemaju bukan sahaja lewat menyerahkan rumah kepada penuntut tetapi telah meng-ubah Perjanjian Jual Beli (S&P) dan mengeluarkan Perjanjian Tambahan untuk membesarkan lagi rumah berkenaan tanpa sijil daripada kontroler perumahan.

Menurut Maznah, pemaju tidak boleh sewenang-wenangnya menukar sebarang perubahan dalam perjanjian jual beli berkenaan melainkan kebenaran daripada kontroler.

Jika ia ditukar tanpa kebenaran kontroler, katanya, ia sudah menyalahi undang-undang yang ditetapkan.

Selain itu, dalam setiap prosedur kata beliau, setiap pemaju juga perlu mendapatkan lesen daripada Kementerian Perumahan.

“Lesen berkenaan diberikan kepada pemaju untuk membangunkan tanah tetapi jika pemaju yang memajukan kurang daripada lapan unit rumah, mereka tidak perlu memohon lesen ini,” tegasnya.

Dalam pada itu Maznah memberitahu semenjak TTPR telah ditubuhkan ba-nyak kes yang telah diadukan kepada tribunal namun kebanyakan ia di luar bidang kuasa mereka.

“Saya sendiri telah kendalikan tujuh kes…sebenarnya banyak kes yang kita terima tetapi tidak semua ia dalam bidang kuasa kita.

“Tribunal cuma boleh men-dengar kes yang mempunyai S&P, tuntutan tidak melebihi RM40,000 serta dalam 12 bulan selepas Permit Menduduki (OP) dikeluarkan atau jangka masa seperti dalam perjanjian,” katanya sambil berkata projek terbengkalai juga bukan di bawah bidang kuasa TTPR.