Pemilik kenderaan diberi hingga 31 Oktober untuk jelas kompaun

0

JITRA: Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) memberi tempoh sehingga 31 Oktober ini bagi pemilik kenderaan menjelaskan kompaun mereka atau berdepan tindakan disenarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan.

Ketua Penguatkuasa Tunggakan Hasil dan Parkir MDKP Zakariya Ahmad berkata, mereka juga ditawarkan kadar diskaun pada RM10 berbanding RM50 sepanjang tempoh itu.

“…selepas itu kompaun sebanyak RM50 akan dikenakan atau mereka perlu menghadapi tindakan mahkamah.

“Notis kompaun kepada yang disaman atas kesalahan meletak kereta sejak 2009 sedang diproses untuk dikirim. Mereka juga boleh datang menyemak status kompaun di pejabat MDKP,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Zakariya berkata, MDKP telah mengeluarkan lebih 50,000 notis peringatan kepada pemilik kenderaan supaya menjelaskan kompaun terbabit sebelum 31 Oktober.

Beliau berkata, terdapat kes pemilik kenderaan terpaksa berhabis beribu ringgit untuk membayar 50 kompaun dalam tempoh tiga tahun lepas hanya kerana tidak mempamerkan kupon letak kereta dan mengabaikan notis yang dihantar.

“Orang ramai diingatkan tidak memandang ringan perkara ini kerana MDKP bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan agar tindakan menyenaraihitamkan kenderaan mereka dapat diambil,” katanya.

Zakariya berkata, sekalipun MDKP telah melantik 41 ejen menjual kupon parkir, kajian rambang mendapati 95 peratus pemilik kenderaan masih gagal mempamerkan kupon tersebut di lot yang digazetkan.

“Mulai 1 November Bini kompaun RM50 akan dikenakan kepada pemilik kenderaan yang tidak menggunakan kupon letak kereta atau meletak kenderaan sesuka hati di luar petak yang disediakan.

“Tayar kenderaan mereka akan dikunci atau ditunda manakala MDKP sedang mengenal pasti zon tunda untuk digazetkan sebagai langkah mendisiplinkan pengguna agar mematuhi undang-undang atau peraturan jalan raya,” kata Zakariya. — Bernama