Pesakit kanser kolon perlu RM260,000 biayai kos rawatan

0

KUCHING: Seorang pesakit kanser kolon yang kritikal, Voon Miaw Tan memerlukan RM260,000 lagi untuk menampung kos rawatan beliau yang perlu dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Presiden Persatuan Anti-Kanser Malaysia (MACA) Dr Wong Ching Shion berkata, pihaknya setakat ini telah berjaya mengumpul RM35,000 untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun jumlah tersebut masih terlalu sedikit untuk menampung kos rawatan yang bakal dijalankan di sebuah pusat pakar kanser di luar negara.

“Sejak kes ini disebarkan oleh media, kita telah berjaya memperolehi sekitar RM10,000 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang berjaya kita perolehi ialah RM35,000.

“Justeru kita mengharapkan agar lebih ramai lagi pihak dapat menyalurkan sumbangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Voon yang berusia 47 tahun telah disahkan menghidap kanser tersebut sejak Januari tahun lepas dan kini berada pada peringkat yang kritikal dan perlu mendapatkan rawatan segera di salah sebuah Hospital Pakar Kanser di luar negara.

Rawatan tersebut merupakan peluang terakhir untuk beliau sembuh namun ia memerlukan kos yang tinggi sehingga mencecah RM300,000.

Bagaimanapun, keluarga Voon sendiri kini hanya mampu mengumpul RM4,000 sahaja.

Justeru anaknya Chen Kai Chin, 28 dalam satu sidang media sebelum ini amat mengharapkan agar ada pihak yang prihatin dan dapat membantu untuk menampung kos perbelajaan rawatan ibunya.

“Ibu saya kini amat sakit, dia kini sudah berada pada peringkat yang sangat kritikal dan daripada apa yang dimaklumkan oleh doktor, ibu sudah tidak mempunyai banyak harapan untuk sihat kecuali mendapatkan rawatan lanjut di sebuah hospital pakar di luar negara.

“Oleh itu saya amat mengharapkan simpati orang ramai untuk membantu kami dan memberikan kami sedikit harapan agar ibu saya dapat sembuh,” katanya

Tambahnya, harapan terakhir untuk ibunya sihat adalah hanya mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Kanser di luar negara.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Persatuan Anti-Kanser Malaysia (MACA) di sini semalam.

Suami Voon, Chen Ted Chon merupakan kakitangan kerajaan dan Voon mempunyai seorang lagi anak lelaki, Chen Kai Hii yang baru berusia 11 tahun.

Voon kini tinggal bersama keluarga di No.86 Lot 3639 Jalan Kangking, Off Jalan Batu Kawa di Kuching

Kepada sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan boleh mengunjungi laman web www.cancermalaysia.org untuk keterangan lanjut.

Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Dr Wong menerusi e-mel cancermalaysia@ymail atau menghubungi 016-8981368.