Polis Belaga tahan enam ‘lori hantu’

0

HASIL HARAM:Enam buah lori membawa batang kayu dipercayai ditebang secara haram berjaya ditahan di Jalan Bekenu-Bintulu.

Sebanyak 176 batang kayu dipercayai kayu balak haram turut dirampa.

SIBU: Polis Belaga merampas enam buah ‘lori hantu’ dengan muatan 176 batang kayu yang dipercayai kayu balak haram Sabtu lalu. Ketua Polis Belaga, DSP Bakar Sebau ketika dihubungi semalam mengesahkan bahawa polis Belaga telah menahan serta merampas enam buah lori hantu dengan muatan kayu balak haram tersebut.

Katanya, kesemua lori berkenaan telah dirampas di KM32, Jalan Bekenu-Bintulu pada 10 September di antara jam 2 hingga 3 petang oleh sepasukan polis dari Belaga yang diketuai oleh beliau sendiri.

Seramai enam orang lelaki berusia antara 39 hingga 52 tahun turut ditangkap namun kini telah dibebaskan dengan ikat jamin polis.

Menurutnya lagi, kayu balak dan lori-lori berkenaan akan dirujuk kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk siasatan dan pendakwaan.

Katanya lagi, pihak polis tidak menjalankan siasatan lanjut kerana di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak (CAP 126) pihak polis hanya mempunyai kuasa untuk merampas dan menangkap.

“Kuasa untuk menyiasat dan mendakwa kes-kes hasil hutan haram adalah terletak di bawah bidang kuasa SFC,” jelasnya.

Mengenai di mana kayukayu tersebut diperolehi, Bakar memberitahu bahawa kes tersebut masih dalam peringkat penyiasatan dan oleh sebab itu kawasan tempat kayu tersebut ditebang tidak dapat didedahkan setakat ini.

“Daerah Belaga mempunyai kawasan seluas 19,403.27 lm persegi iaitu hampir sebesar negeri Pahang.

Oleh yang demikian, kawasan dari mana kayu-kayu yang dirampas diperolehi memerlukan masa yang panjang untuk dikenal pasti,” ujarnya.

Mengenai rampasan sebelum ini, Bakar berkata beliau sendiri pernah merampas tiga buah lori hantu dan menangkap tiga orang lelaki pada awal Mei tahun ini.

“Tiga buah lori hantu serta dengan muatan 58 batang kayu haram tersebut telah diserahkan kepada SFC pada 18 Mei lalu untuk tujuan pensiasatan dan pendakwaan oleh pihak mereka,” katanya.

Bakar turut menasihati penduduk Belaga supaya tidak melibatkan diri dengan aktiviti pembalakan haram.

Katanya pasukannya akan menjalankan sekatan jalanraya secara berterusan bagi membanteras aktiviti pembalakan haram serta merampas lori-lori balak yang membawa balak haram yang berjaya melepaskan diri daripada jaringan penguat kuasa pihak SFC di kawasan-kawasan tertentu di daerah Belaga.

Untuk membendung kegiatan pembalakan haram dengan lebih serius lagi, katanya, pihak polis akan mempertimbangkan untuk menggunakan Ordinan Darurat (EO) terhadap mereka yang ingkar jika difikirkan perlu.