Saturday, September 19

PPP tetap tidak akan berganjak mahu bertapak

0

GEORGE BUDIT

SIBU: Meskipun sering menerima kritikan daripada pelbagai pihak, Parti Progresif Penduduk (PPP) tetap tidak berganjak daripada tujuan asal parti itu bertapak di negeri ini.

Naib Pengerusi PPP negeri George Budit berkata, PPP sedang bergiat aktif dengan mengadakan pelbagai program termasuk merekrut ahli serta pengundi baru.

“Kita cuba untuk mendaftarkan seramai mana yang boleh sama ada sebagai pengundi baru ataupun ahli PPP…tiada sebarang sasaran ditetapkan,” ujar beliau ketika ditemui semalam.

Katanya, PPP turut menganjurkan program kemasyarakatan yang diyakini dapat mendekatkan jurang di antara kerajaan dengan rakyat.

Menurut George, ini adalah sebahagian daripada usaha PPP membantu komponen parti Barisan Nasional (BN) negeri agar terus diberi mandat sebagai pemerintah.

Skop objektif setiap penganjuran aktiviti PPP juga tidak hanya tertumpu di bandar sahaja malah turut diperkembangkan ke kawasan luar bandar seperti di sekitar Kanowit dan Pakan.

“Mana-mana mereka dari kawasan luar bandar yang masih belum mendaftarkan diri sebagai pengundi, kita akan bantu, terutamanya golongan muda.

“Ini bertujuan untuk memastikan mereka dapat menunaikan hak mereka sebagai warganegara yang secara tidak langsung menerus kesinambungan kemajuan negara,” katanya.

Ditanya mengenai langkah PPP seterusnya sekiranya diberi kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya, George menjelaskan ia terlalu jauh daripada tujuan asal parti itu mengembangkan sayapnya ke Sarawak.

PPP juga ujar beliau, tidak akan meminta sebarang kerusi untuk ditandingi, sebaliknya hanya komited kepada membantu parti komponen BN untuk memenangi setiap pilihan raya.

“Diberi peluang sekalipun sekiranya tidak mendapat restu daripada rakyat juga tidak membawa sebarang makna kepada PPP, kerana apa yang lebih penting ialah kepercayaan rakyat,” tambah beliau.

Goerge turut memberi respons yang positif terhadap pertukaran kerusi di antara parti komponen BN selaras suasana politik yang sudah berubah.

Menurut Goerge, seandainya langkah tersebut diyakinkan dapat menguntungkan rakyat serta BN, langkah pertukaran kerusi patut diteruskan.