Dewan Masyarakat Kampung Pengkalan Lutong bakal disediakan kipas angin

0

MIRI: Dewan Masyarakat Kampung Pengkalan Lutong bakal memiliki kipas angin selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin Datuk Lee Kim Shin bersetuju menyumbang RM2,000 bagi tujuan itu.

Mengumumkan pemberian geran itu pada majlis Ramah-tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Senadin kelmarin, Lee memberitahu ia bakal memberi keselesaan kepada penduduk.

“Saya tahu dewan tersebut panas dan ia sering digunakan untuk menjalankan aktiviti penduduk setempat dan sebagai kerajaan yang prihatin, saya menyumbang RM2,000 untuk memasang kipas di dewan itu,” katanya.

Dalam masa sama, pemasangan kipas tersebut akan memberi keselesaan kepada penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang boleh menyumbang kepada perpaduan penduduk.

Sementara itu, Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Senadin Kaunselor Julaihi Mohamad berkata majlis tersebut adalah yang kedua diadakan selepas dianjurkan di Luak tahun lepas.

“Kamiakan menganjurkan program ini pada tahun depan tetapi akan diadakan di kampung-kampung lain yang berminat terutama bagi cawangan atau ranting PBB sekitar Miri,” katanya.

Julaihi juga berharap semua cawangan atau ranting PBB mengukuhkan kerjasama antara satu sama lain dan bersedia lebih awal sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Menurutnya, majlis sedemikian adalah saluran terbaik kepada ahli-ahli PBB untuk saling mengenali antara satu sama lain seterusnya merangka kerjasama bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Kira-kira lapan ranting PBB sekitar Miri mengambil bahagian dalam majlis tersebut yang terdiri daripada PBB Pujut Padang Kerbau, PBB Senadin, PBB Tudan Selatan dan PBB Kampung Muhibbah Kuala Baram.

Turut serta ialah PBB Kampung Masjid Kuala Baram, PBB Pengkalan Lutong, PBB Riam Batu 2 dan PBB Tudan Utara.

Majlis sama turut dihadiri lebih 200 penduduk setempat termasuk pemimpin tempatan dan ketua-ketua masyarakat.