Friday, September 24

Generasi muda disaran hayati keamanan sedia ada

0

MIRI: Pejuang kemerdekaan zaman penjajahan British menyarankan kepada generasi muda agar mengekal dan menghayati keamanan sedia ada hasil pengorbanan pejuang terdahulu.

Seorang pejuang kemerdekaan, Penghulu Salim Ibrahim berkata, pada 1962, beliau bersama beberapa rakan telah berusaha gigih bagi memastikan Sarawak terutamanya Sibuti bebas daripada cengkaman British.

“Konsep perjuangan pejuang 1962 terutama di Sibuti adalah untuk menentang dan menghalau segala bentuk penjajahan British malah ada rakan-rakan saya telah terkorban dalam perjuangan itu,” katanya ketika ditemui semalam.

Salim memberitahu, rakyat pada ketika itu telah bangkit menentang kerajaan British bagi mendapatkan keamanan dengan mempelajari cara menggunakan senjata, merangka strategi dan mendapatkan bantuan luar.

“Ramai pejuang kita telah terkorban dalam usaha menentang penjajahan British dan saya berharap generasi sekarang tidak mempersia-siakan keamanan yang telah dikecapi selama ini,” katanya.

Menurutnya, beberapa individu telah menjadi watak penting dalam pejuangan itu sehingga Sibuti bebas daripada cengkaman penjajahan British.

Antaranya, pengasas perjuangan Sibuti, Ebrahim Talip, ketua tertinggi angkatan bersenjata Mohd Bakar Ibrahim dan beliau sendiri selaku ketua pemegang rahsia sulit perjuangan.

Sehubungan itu katanya, sempena sambutan Hari Malaysia 16 September ini, beliau berharap masyarakat terus mengekalkan keamanan tanpa menimbulkan suasana kacau-bilau.

“Kita sangat susah untuk mendapatkan keamanan pada zaman penjajahan British dan janganlah keamanan yang sudah dikecapi sekarang diwarnai dengan suasana kacau-bilau dan huru-hara,” ujarnya.

Salim juga menyarankan supaya generasi muda menghayati pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu agar generasi muda mengenali secara dekat tentang sejarah mendapatkan kemerdekaan.