‘Keldai dadah’ bawa syabu RM1.3 juta dicekup di KKIA

0

DIRAMPAS...Hamza (dua dari kiri) menunjukkan tempat dadah terbabit disembunyikan dalam dua beg berasingan yang dibawa oleh seorang wanita warganegara Kenya di KKIA Isnin lepas.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas seorang wanita warganegara Kenya yang dipercayai dijadikan sebagai ‘keldai dadah’ diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal 1 di sini Isnin lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, wanita berusia 31 tahun terbabit turut didapati membawa sejumlah lima kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta yang disembunyikan di dalam dua beg berasingan.

Timbalan Pengarah JKDM negeri, Hamzah Sundang berkata suspek ditahan ketika baru tiba dari Bandar Seri Begawan, Brunei dengan penerbangan Royal Brunei Air.

“Berdasarkan rekod perjalanan, suspek bertolak dari Kenya pada 5 September lalu dan melalui Ethopia serta Dubai, sebelum tiba di Brunei kelmarin.

“Kehadiran suspek yang pertama kali tiba di Kota Kinabalu diragui dan hasil pemeriksaan mendapati dua buah beg yang diubahsuai telah digunakan untuk menyimpan empat paket dadah dipercayai jenis syabu,” katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.

Hamzah berkata, dadah berkenaan disembunyikan di bawah lantai palsu dalam beg itu dan ditutup dengan menggunakan kayu lapis serta lapisan plastik, selain turut dibungkus dengan menggunakan kertas aluminium.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil kecekapan pemantauan dan penilaian risiko oleh pegawai Kastam di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang di Terminal Satu KKIA.

Tambahnya, turut dirampas ialah sejumlah mata wang asing iaitu 36,000 France (RM22,793), Brunei Dollar $87 (RM210), AS $900 (RM2,735) dan Banki Kuuga Kenya 1,800 (RM56).

Sehubungan rampasan itu, katanya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Ditanya sama ada ia merupakan sindiket antarabangsa, Hamzah berkata perkara itu masih dalam siasatan, tetapi dia tidak menolak kemungkinan suspek telah diperdaya dan dijadikan ‘keldai’ untuk membawa dadah berkenaan.

“Daripada siasatan awal, suspek merupakan pelajar di Institut Pengurusan Kenya dan berkerja sambilan sebagai jurujual pakaian di negaranya,” katanya.