Pembinaan loji Petronas di Kerteh tidak jejaskan pendaratan penyu

0

KUALA TERENGGANU: Operasi cari gali dan loji Petronas di sekitar Kerteh, Kemaman tidak memberi kesan terhadap pendaratan penyu di Terengganu kerana ekosistem flora dan fauna di kawasan itu tidak terjejas, kata Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Zulkifly M. Ismail.

Beliau berkata ia berdasarkan kajian syarikat petroleum itu dengan kerjasama Malaysia Nature Society (MNS) tahun lepas, di mana hasilnya menunjukkan bahawa flora dan fauna di kawasan itu masih terpelihara.

“Hasil kajian menunjukkan bahawa penyu masih mendarat berhampiran dengan kawasan yang dibangunkan Petronas iaitu Ma’Daerah di Kerteh,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Hari Raya Petronas bersama agensi kerajaan dan media di sini, semalam.

Menurut beliau antara kawasan kajian ialah di sekitar pelantar minyak, loji dan kawasan berhampiran bagi memastikan operasi Petronas tidak menjejaskan alam sekitar.

Selain itu pihaknya turut menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan penyu terus mendarat, bertelur, menetas, malah lebih banyak penyu lagi akan terus mendarat di Ma’daerah. — Bernama

“Pihak Petronas turut menaja pusat pemulihan penyu di situ dan kita akan majukan ia bagi memastikan lebih banyak telur penyu menetas dan lebih banyak anak penyu dilepaskan ke laut,” katanya. — Bernama