Thursday, August 6

Perbetul fakta Kemerdekaan

0

YONG

SIPITANG: Fakta sejarah tentang kemerdekaan Sabah melalui pembentukan Malaysia perlu diperbetulkan agar generasi masa kini dan akan datang tidak terkeliru.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata Sabah mencapai kemerdekaan apabila bersama-sama Sarawak, Singapura dan Malaya membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Sabah tidak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana pada masa itu negara Malaysia masih belum wujud manakala Sabah yang dulu dikenali sebagai Borneo Utara masih berada di bawah jajahan British.

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman juga tersilap apabila mengatakan usia kemerdekaan Sabah pada tahun ini mencecah 54 tahun sedangkan Sabah mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia .

“Nasib baik seorang pegawai kanan kerajaan Sabah iaitu Pengarah Arkib Negeri Sabah saudara Datu Tiga Belas memperbetulkan kenyataan Musa itu dengan mengatakan usia kemerdekaan Sabah sebenarnya ialah 48 tahun.

“Keberanian Datu Tiga Belas memperbetulkan fakta sejarah itu harus dipuji kerana tidak ada seorang pun anggota Kabinet Negeri atau pegawai kanan Kerajaan Sabah yang berani tampil memperbetulkannya,” kata Yong pada majlis Hari Raya Aidilfitri SAPP peringkat negeri Sabah di sini.

Katanya, semua pihak termasuk para pemimpin politik parti pemerintah Barisan Nasional (BN) di Semenanjung juga mengatakan usia kemerdekaan Malaysia ialah 54 tahun walaupun sebenarnya berusia 48 tahun.

Beliau berkata, ada kalangan pemimpin pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) turut berkata Malaysia berusia 54 tahun dan salah seorang daripadanya ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, seorang pemimpin kanan DAP, salah sebuah parti komponen PR.

Yong menegaskan kekeliruan mengenai kemerdekaan Malaysia harus diperbetulkan.

Terdahulu, Timbalan Presiden SAPP, Amde Sidik berkata beliau mendapati 90 peratus pelajar salah sebuah institusi pengajian tinggi di negeri ini tidak dapat membezakan antara 31 Ogos 1957 dengan 16 September 1963.

Mengulas lanjut mengenai kemerdekaan, Amde menambah bahawa barisan terakhir lirik lagu Sabah Tanah Air Ku turut menjelaskan bahawa Sabah sebenarnya adalah sebuah negeri Merdeka dan tidak sepatutnya dilayan seperti sebuah jajahan seperti yang diamalkan Kuala Lumpur pada masa ini.

“Barisan terakhir lirik lagu itu menyebut Sabah Negeri Merdeka dan ini bererti sesebuah negeri yang merdeka sepatutnya mempunyai kuasa autonomi dalam segala hal ehwal pentadbiran,” katanya.