Promosi diperhebat

0

SEMOGA BERJAYA!: Abang Johari menjalankan upacara tepung tawar ke atas perahu pasukan BandarayaKU sambil disaksikan Abang Wahap (kanan), semalam. — Gambar Jeffery Mostapha

KUCHING: Penyertaan pasukan-pasukan dari luar negara, iaitu Indonesia dan Brunei pada acara Regata Sarawak 2011 yang bermula esok dijangka akan menjadi ikutan negara-negara lain tahun depan.

Menteri Pelancongan dan Warisan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, promosi Regata Sarawak akan diperhebatkan di peringkat antarabangsa.

“Kita juga akan memperhebatkan promosi pada pe-ringkat antarabangsa tahun depan di tempat-tempat yang aktif dalam acara itu seperti Thailand, termasuk di Semenanjung Malaysia.

“Ia adalah untuk menaikkan mutu regata, bukan sahaja dari sudut saingan, tetapi mempromosikan sukan yang yang kita usahakan sebagai satu sektor penting dalam pelancongan kita,” katanya ketika berucap merasmikan Kem Regata Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, semalam.

Abang Johari memberitahu, regata pada tahun ini turut merekodkan peningkatan dari segi penyertaan sebanyak 100 pasukan yang merangkumi 2,700 peserta.

Sehubungan itu, katanya, pasukan tempatan tidak harus gentar walaupun acara itu turut menampilkan pasukan-pasukan dari luar negara.

“Walaupun kita menjemput peserta luar negara untuk bersaing dengan kita, jangan takut kerana siapa tahu kita lebih hebat daripada mereka,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, pasukan mereka yang dikenali sebagai BandarayaKU terdiri daripada 60 orang pekayuh itu akan menyertai 10 acara yang dipertandingkan.

Menurutnya, DBKU juga akan bertanding dalam kategori VIP atas nama Abang Johari sendiri di mana perahu itu dinamakan Medan Satok dan nama Datuk Bandar DBKU.

Tambahnya, mereka juga akan bertanding mewakili bahagian Kapit.

“Harapan saya, apa sahaja kategori yang dipertandingkan, kita mampu memberikan persembahan terbaik dan saingan.

“Kita harus berbangga kerana pasukan Bandaraya-KU merupakan satu-satunya pasukan lumba perahu yang dianggotai secara 100 peratus warga kerja DBKU sendiri tanpa khidmat pengayuh dari luar… inilah kekuatan kita!” katanya.