Thursday, September 19

Rakyat terima bantuan kemudahan kerajaan diseru tidak menjualnya

0

SIMUNJAN: Rakyat yang menerima bantuan kemudahan daripada kerajaan diseru agar tidak menjualnya.

Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan Bumiputera Mohd Naroden Majais (gambar) berkata, misalnya ada individu tertentu yang menerima bantuan seperti enjin sangkut dan jana kuasa elektrik sanggup menjual mesin-mesin berkenaan untuk mendapatkan wang.

Bagaimanapun selepas itu mereka sendiri yang menanggung kesusahan bagi jangka panjang kerana tidak ada lagi kemudahan untuk mencari rezeki.

Beliau berkata demikian pada Majlis Semarak Merdeka anjuran Jabatan Penerangan dan Komuniti 1Malaysia daerah Simunjan di pekarangan Pejabat Penerangan di sini, semalam.

Justeru kata Naroden, mereka seharusnya menjaga bantuan tersebut dengan sebaiknya supaya mereka dapat terus mencari rezeki dengan lebih senang.

Dalam pada itu Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber turut menggalakkan generasi muda terus melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran sedia ada.

Ia katanya termasuk melanjutkan pengajian ke institusi seperti Kolej Laila Taib bagi menyahut keperluan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Beliau menambah, ini kerana dalam jangka masa 20 tahun, kawasan SCORE memerlukan tenaga kerja mahir yang tinggi.

Naroden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simunjan berkata rakyat perlu bersemangat bersama mengibarkan Jalur Gemilang untuk menunjukkan rasa cinta dan sayang kepada negara.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Zaini Mohammad dalam ucapannya berkata Majlis Semarak Merdeka berkenaan merupakan kesinambungan daripada program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan (KMJGR) 2011.

KMGJR 2011 berjaya mengagihkan Jalur Gemilang kepada masyarakat sebanyak 30,000 yang berlangsung selama 15 hari merangkumi 18 daerah.

Majlis itu juga menyaksikan tiga penerima ‘Sijil Dikenang’ iaitu Kaunselor Ismail Dahari, Kartina Ahmad dan Ramlah Laba atas penglibatan dan tanggungjawab mereka kepada penubuhan Komuniti 1Malaysia iaitu sebuah pertubuhan sukarela.s