Sedia guru BI mahir, cekap

0

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mahu kerajaan menyediakan tenaga pengajar Bahasa Inggeris (BI) yang mahir dan cekap terlebih dahulu sebelum subjek ini diwajibkan lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Presidennya William Ghani Bina berkata bagi tujuan itu latihan khusus BI sebagai bahasa kedua (TESL) mesti diperkenalkan semula kepada guru mengajar BI.

Latihan itu katanya,  perlu untuk memantapkan lagi profesionalisme dan kemahiran guru-guru yang mengajar subjek tersebut.

“Melatih guru menjadi pengajar subjek BI yang mahir adalah tanggungjawab kerajaan. Ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan semula kursus TESL seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Melahirkan guru berkemahiran dan cekap mengajar BI terlebih dahulu amat penting sebelum subjek ini diperkenalkan sebagai subjek wajib lulus SPM,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau menambah, mengambil guru dari luar negara untuk mengajar mata pelajaran itu hanya penyelesaian jangka pendek dan merupakan satu pembajiran.

“Kalau kita nak buat boleh, cuma kita perlukan sedikit pengorbanan daripada kerajaan, guru dan pelajar sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan subjek BI akan diperkenalkan sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

William menambah STU amat mengalu-alukan cadangan Menteri Pelajaran itu memandangkan BI adalah bahasa utama atau global dalam bidang pendidikan.

Menurutnya kebanyakan istilah Matematik dan Sains dalam BI yang menuntut penguasaan cukup baik dalam mata pelajaran itu.

“Langkah ini juga merupakan persediaan negara melahirkan anak Malaysia dapat bersaing di peringkat global dan merebut peluang pekerjaan dalam sektor swasta.

“Namun kalau boleh, isu bahasa seperti ini jangan dipolitikkan sebaliknya ia diselesaikan secara profesional untuk kepentingan semua pihak,” ujarnya.