Tuesday, August 3

Tuduh MPS tidak efisien tangani kebakaran tapak pembuangan sampah dibidas, kata Tiong

0

SIBU: Kelantangan pihak pembangkang mengkritik dengan menuduh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) serta agensi kerajaan lain tidak efisien dalam menangani insiden kebakaran di tapak pembuangan sampah di Jalan Seng Ling di sini dibidas Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King.

Tiong Thai King

Katanya, pihak pembangkang perlu bertindak adil serta rasional dalam mengeluarkan sebarang kenyataan lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan situasi kritikal seumpama itu.

“Kami telah menggunakan segala bentuk sumber dan sokongan yang sedia ada bagi mengawal kebakaran tersebut daripada bertambah buruk.

“Ini termasuk mendapatkan bantuan Jabtan Bomba dan Penyelamat serta Lembaga Air Sibu (LAS),” ujar beliau ketika mengadakan sidang media di sini semalam.

Menurut beliau, pihak pembangkang harus faham bahawa menangani kejadian kebakaran seperti itu tidaklah semudah seperti yang mereka bayangkan.

Pertama katanya, ia berkaitan dengan faktor fizikal tapak pembuangan sampah tersebut yang wujud kira-kira 40 tahun yang lalu

Api pula berada di bawah timbunan sampah sehingga memaksa menggunakan jentera jengkaut untuk mengorek kembali timbunan sampah berkenaan.

Kejadian kebakaran tersebut katanya, tidak seperti yang berlaku pada 2005 kerana ketika itu Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapat bekalan air yang secukupnya dari parit yang terletak di sekitar tapak pembuangan sampah tersebut.

Ditanya sama ada kebakaran tersebut boleh mendatangkan kesan buruk kepada persekitaran, Tiong menjelaskan ia tidak serius dan orang ramai tidak perlu bimbang.

Tambah Tiong, tapak pembuangan sampah tersebut hanya digunakan untuk menempatkan sampah kebun serta dari kawasan pembinaan.

Ini kerana, Sibu mempunyai satu lagi tapak pembuangan sampah yang terletak di Jalan Kemuyang.

“Kami tidak tutup tapak pembuangan di Jalan Seng Ling, kerana kami memberi ruang kepada orang ramai membuang sampah ke kawasan terbabit.

“Jika tidak, akan wujud tapak pembuangan sampah haram memandangkan tapak pembuangan sampah yang baru terletak sangat jauh,” jelas beliau.

Penguasa Bomba dan Penyelamat Zon Sibu Abdul Mutalib Rashid yang turut hadir pada sidang media berkenaan berkata, sebanyak empat jentera pemadam masing-masing dari Balai Bomba Sungai Merah dan Central digunakan untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Selain itu katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini turut mendapat sokongan anggota dari Balai Bomba Bintangor, Sarikei dan Kanowit.

“Biarpun tidak mendapat bekalan air seperti yang diperlukan pada hari pertama kejadian itu, namun kami masih mampu mengawal kebakaran tersebut.

“Kami juga tidak dapat pastikan punca sebenar kejadian memandangkan ia adalah kawasan terbuka…namun mungkin kehadiran gas-gas tertentu yang dihasilkan timbunan sampah tersebut telah menyukarkan api tersebut dipadamkan,” katanya.