Jangan salah guna kebebasan

0

KOTA KINABALU: Jangan salah guna kebebasan, demikian nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman kepada rakyat Malaysia sekiranya Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dimansuhkan.

Kata beliau, walaupun pemansuhan itu adalah khabar yang ditunggu-ditunggu rakyat, langkah murni kerajaan itu tidak seharusnya disalah guna terutamanya oleh pihak tertentu untuk kepentingan diri.

“Ini adalah lambang demokrasi yang diamalkan kerajaan dan sebagai bukti kerajaan telus dan ikhlas. Jadi jangan disalahguna kebebasan yang diberikan.

“Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sentiasa berusaha memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Musa berkata, janji Najib untuk mengkaji semula beberapa undang-undang lain menunjukkan bahawa kerajaan berani membuat perubahan untuk kepentingan rakyat dan pastinya akan diterima baik oleh rakyat.

“Secara jelas, kerajaan peka terhadap keperluan semasa tetapi pada masa yang sama tetap komited untuk memastikan keselamatan dan kenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Kerajaan mempunyai rasa tanggungjawab dan keazaman politik yang kuat untuk menjayakan transformasi politik, ekonomi dan pentadbiran dengan matlamat akhirnya adalah untuk kesejateraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan bahawa tindakan ini adalah kerana kerajaan tunduk kepada pembangkang, Musa berkata pembangkang tidak akan pernah senang hati dengan apa yang dilaksana kerajaan.

“Pembangkang akan sentiasa cari bahan, tetapi kita tidak perlu tergugat dengan apa yang mereka cakap. Paling penting, kita perlu sedar kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib sentiasa peka dengan keadaan dan keperluan semasa,” katanya.