Dua remaja cedera, Wira bertembung lori tangki

0

CEDERA: Anggota bomba bekerja keras mengeluarkan pemandu remaja yang tersepit di tempat duduk kereta Wira berkenaan.

SIBU: Pemandu remaja berusia 18 tahun mengalami kecederaan di kepala manakala penumpang yang juga berusia 18 tahun patah kaki kanannya selepas kereta Wira yang mereka naiki bertembung dengan lori tangki minyak di Jalan Pedada di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.10 petang semalam, lori tangki minyak itu datang dari arah bandar manakala kereta berkenaan berada di laluan bertentangan dari arah Jalan Pedada.

Pemandu lori, Mapang Takin, 42, yang terselamat dalam kemalangan itu berkata, kereta yang dipandu laju itu tiba-tiba terbabas ke laluannya sebelum bertembung.

“Saya baru kembali ke sini dari Sarikei selepas menghantar minyak diesel,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya, impak kemalangan itu mengakibatkan kenderaannya hilang kawalan lalu melanggar pembahagi  jalan. Lori tangki berkenaan hanya mengalami kerosakan di bahagian depan manakala kereta itu remuk teruk.

Mapang yang mempunyai pengalaman selama 14 tahun sebagai pemandu, berkata tangki minyak yang dibawanya kosong ketika kemalangan itu berlaku.

Walaupun tangki minyak kosong, sedikit tumpahan minyak masih dapat dilihat di atas jalan di tempat kejadian.

Anggota bomba bersama jenteranya bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan pemandu remaja yang tersepit di tempat duduknya.

Ambulans tiba tidak lama kemudian dan menghantar kedua-dua remaja lelaki itu ke hospital.

Anggota polis membersihkan kawasan kemalangan dan mengawal kesesakan trafik di kedua-dua belah laluan jalan akibat kemalangan itu.   Menurut sumber, hubungan kedua-dua remaja berkenaan adalah sebagai kawan.