Monday, August 2

Petra Energy beri amaran awal

0

Pendatang baru Regata Sarawak 2011 rangkul Piala Pusingan Nippon Corporation

KUCHING: Pendatang baru, Petra Energy menampakkan sinar kejayaan mereka apabila merangkul Piala Pusingan Nippon Corporation pada saingan Regata Sarawak 2011 di Tebingan Kuching di sini semalam.

Perahu Petra Energy membuktikan kehebatan mereka apabila menjuarai acara akhir Bidar 20 Pekayuh Agensi Kerajaan dan Korporat.

“Kejayaan ini memberikan semangat baru buat Petra Energy untuk memburu kejuaraan pada saingan akhir beberapa acara lain pada Sabtu dan Ahad ini,” kata pegawai pasukan Petra Energy semalam.

Bagaimanapun, pencabar terdekat Landas hanya berpuas hati merangkul naib juara sambil diberi saingan oleh Zecon yang menduduki tempat ketiga.

Tempat keempat dan kelima masing-masing disandang Yayasan Sarawak (Samad Junai) dan Pusaka (Datu Sarudu Hoklai).

Dalam saingan akhir acara perahu Kenyalang 15 Pekayuh merebut Piala Pelancongan pula, perahu Istana Sambas B dari Indonesia membuktikan keunggulan mereka merangkul kejuaraan.

Naib juara disandang oleh perahu Lumba Perayu Kayak GAMTA dari negara Brunei Darussalam dan ketiga dimenangi oleh perahu Sambas A juga dari Indonesia.

Bagi acara akhir Bidar 10 (Wanita), juara dimenangi oleh perahu Lang Laut, naib juara Abok Sekalai Foundation, tempat ketiga dimenangi Taju Remaung, keempat Jang G dan kelima MLMG.

Dalam saingan acara akhir Bidar 15 Pekayuh (lelaki), juara disandang oleh perahu Jang 7, naib juara dimenangi Puteri Dang Balai. ketiga Jang 8, keempat Pusaka Satu dan kelima Landas 25.

Saingan acara akhir Balok 7 Pekayuh pula turut menyaksikan kehebatan perahu Warisan Sambang I yang muncul juara.

Naib juara disandang oleh perahu Sri Pakitt, ketiga dimenangi perahu Puteri Berkaya, keempat Puteri Bunian dan kelima jatuh kepada perahu Keris Terbang.

Sebanyak lapan acara akhir semalam yang turut melibatkan acara Bidar 20 Antara Bahagian (lelaki) bagi merebut Piala Harian Metro.

Turut bersaing dalam acara akhir semalam ialah acara perahu tambang (berdayung) dan berenjin.

Hadir memeriahkan Regata Sarawak semalam sekali gus menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Hari ini, beberapa acara akhir turut dilangsungkan termasuk saingan Wakeboard Piala Dunia lelaki dan wanita serta acara Wakeboard Piala Dunia Remaja Sarawak.