Kemalangan masalah paling serius

0

Tidak kurang 100 kes baru kewujudan anak yatim, OKU atau ibu bapa tunggal di Sarawak disebabkan kemalangan

KUCHING: Kajian Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di Sarawak mendapati setiap tahun tidak kurang daripada 100 kes baru kewujudan anak yatim, OKU atau ibu bapa tunggal disebabkan kemalangan jalan raya.

Sementara, rekod Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim (Peryatim) di seluruh negara sehingga tahun 2010 menunjukkan seramai 300,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu selepas ibu bapa maut dalam kemalangan jalan raya.

“Maka, boleh dikatakan kemalangan jalan raya adalah masalah yang paling serius di negara ini,” kata Pengarah JKJR Negeri Rano Aylwino Akat kepada pemberita semalam.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas menyempurnakan pelepasan peserta ‘Yamaha Trans Borneo Adventure 2011’ di sini, semalam.

Beliau menambah, dari tahun 2000 hingga 2010, rekod kemalangan maut di negeri ini telah mencatatkan sebanyak 3,442 kes. Daripada jumlah tersebut, katanya sebanyak 46 peratus atau 1,586 kes adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Mengulas mengenai penggunaan topi keledar ‘kura-kura’, Rano berkata ia tidak digalakkan bagi pengguna motosikal kerana tahap jaminan keselamatannya yang rendah.

Bagaimanapun, katanya pihaknya tidak dapat mengharamkan  penggunaan atau bertindak menghentikan penjualan topi keledar tersebut.

“Sebenarnya, topi keledar ini telah diklasifikasikan sebagai topi keledar mainan di negara ini tetapi telah digunakan oleh pengguna motosikal.

“Maka, apa yang kami mampu lakukan demi kebaikan pengguna ialah melalui program kesedaran,” katanya.

Hadir sama ialah Naib Presiden Persatuan Pengedar Skuter dan Motosikal Malaysia Lu Kim Yong dan Pengurus Besar (Jualan dan Pemasaran) Hong Leong Yamaha Motor Leong King Choon.