PDRM A atasi Kastam di final, juarai futsal MAKSAK Sarikei

0

SEPAK MULA: Micheal (tengah) melakukan simbolik sepak mula ketika beliau merasmikan perlawanan akhir di Sarikei semalam.

SARIKEI: Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) A telah menunjukkan taring serta kehebatan mereka apabila menjuarai Kejohanan Futsal Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Bahagian Sarikei di sini semalam.

Mereka muncul juara setelah menewaskan pasukan Kastam 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak (KPSU) Sarikei.

Selaku juara, PDRM A membawa pulang hadiah berupa piala dan pingat sementara Kastam tidak pulang hampa apabila turut menerima piala dan pingat daripada pihak penganjur.

Pertandingan selama dua hari anjuran Kelab Sokanjaya dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei itu disertai 12 pasukan yang terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan di sekitar bahagian ini.

Setiausaha pengelola pertandingan, Ramli Ah Nee menjelaskan bahawa objektif pertandingan adalah untuk mencari barisan pemain bagi mewakili Sarikei ke pertandingan peringkat negeri.

“Pemain-pemain yang terpilih akan mewakili bahagian ini ke Kejohanan Futsal Maksak Peringkat Negeri Sarawak yang bakal diadakan di Kapit pada Oktober depan,” demikian menurut Ramli.

Senarai pemain yang terpilih akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ini, ujarnya lagi.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Residen Bahagian Sarikei, Michael Dawi Ali.