Pegawai kanan MDLD maut dipukul 14 lelaki

32

Polis Sedang melakukan tugas siasatan di tempat kejadian dan juga tembok tepi jalan telah dilanggar oleh Nissan Vanette.

LAHAD DATU: Seorang pegawai kanan Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) di sini maut dipukul sekumpulan 14 lelaki selepas dikatakan menegur mereka melanggar papan tanda dan tembok tepi jalan, dalam kejadian yang berlaku di depan sebuah bank di bandar ini, pada awal pagi kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Lahad Datu, ASP Bong Khuet Kuin berkata mangsa dikenali sebagai Ali Jamal, 47, disahkan meninggal dunia di Hospital Lahad Datu (HLD) kira-kira jam 6.30 pagi akibat kecederaan parah selepas dipukul dan ditikam di bahagian perut dipercayai menggunakan pisau.

Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa telah diserang oleh kumpulan lelaki terbabit yang dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakannya menegur mereka melanggar papan tanda dan tembok di tepi jalan di kawasan berkenaan.

“Siasatan awal kita mendapati kejadian itu berpunca daripada tindakan mangsa menegur kumpulan lelaki terbabit sebelum dia diserang yang kemudian membawa kepada kematian mangsa,” katanya di sini kelmarin.

Bong memberitahu sebaik selepas kejadian itu kumpulan lelaki itu telah bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah Nissan Vanette berwarna biru.

“Belum ada tangkapan dibuat setakat ini, dan pihak polis kini juga sedang giat menjalankan siasatan termasuk melancarkan gerakan bagi mengesan kumpulan suspek yang terlibat dalam kejadian itu,” tambahnya.