Pemansuhan ISA: Tunggu undang-undang baru sebelum pertikai, kata Koh

0

GEORGE TOWN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meminta mereka yang berkenaan agar menunggu sehingga undang-undang baru berkaitan keselamatan negara siap digubal sebelum membuat kritikan.

Beliau berkata ini kerana perkara itu baru saja diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

“Orang ramai tidak sepatutnya membuat tuduhan ke atas sesuatu rang undang-undang yang belum lagi dibentang dalam Parliamen. Ini satu tindakan yang tidak adil,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Koh yang juga Presiden parti Gerakan turut menyangkal dakwaan bahawa pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan penggubalan dua undang-undang baru tersebut adalah gimik politik bagi meraih sokongan.

“Keputusan memansuhkan ISA telah dilakukan atas dasar apa yang betul demi rakyat dan bukannya untuk mendapat momentum pilihan rayam umum ke-13,” katanya yang ditemui selepas merasmikan mesyuarat tahunan Gerakan di sini.

Sementara itu mengulas seruan Najib agar pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak melaksanakan program “syok sendiri’ dan memberi laporan yang tepat mengenai bacaan politik di satu-satu kawasan, Koh berkata gesaan tersebut tepat pada masanya.

“Kita hendaklah mempertingkatkan lagi komitmen dan usaha dalam mendahulukan rakyat… politik  bertujuan berkhidmat kepada rakyat, bukan kerana pangkat, kuasa individu adalah amanat yang diamanahkan,” katanya.

Justeru katanya, seseorang ahli politik tidak harus mengejar kuasa sehingga melebihi perkhidmatannya kepada rakyat kerana yang memberi kuasa kepadanya adalah rakyat. — Bernama