Wan Arafan simpan impian menjadi juara wakeboard Asia

0

BERBAKAT: Wan Arafan (tengah) bergambar bersama Dzakri dan Zahhar di Kuching. — Gambar Bernama

KUCHING: Juara baru Piala Wakeboard Belia Sarawak, Wan Arafan Edruce Wan Abdillah Edruce menyimpan hasrat untuk menjuarai kejohanan peringkat Asia di Putrajaya bulan depan setelah mengalahkan tujuh peserta lain pada pertandingan di Tebingan Kuching di sini.

Peluncur berusia 21 tahun itu akan berdepan cabaran lebih besar selepas meraih gelaran dengan memperoleh 51.67 mata hasil usaha keras beliau selama dua bulan menyertai Akademi Wakeboard dan Wakerski Sarawak.

“Sepatutnya saya mengambil bahagian dalam salah satu acara peringkat novis atau pertengahan tetapi kejohanan Asia tidak ada kategori berkenaan kecuali dalam kejohanan terbuka dan ini suatu cabaran besar bagi saya,” demikian menurut peluncur kelahiran Kuching itu.

Kejohanan Piala Wakeboard Belia Sarawak berlangsung sempena Piala Dunia Wakeboard 2011 yang menyaksikan peserta profesional bertaraf dunia lelaki dan wanita dari 19 negara mengambil bahagian.

Walaupun masih baru dalam sukan berkenaan dan berada jauh untuk menjadi peluncur wakeboard terkemuka, Wan Arafan berkata beliau berazam memberi persembahan baik dan memajukan kerjayanya ke peringkat berikutnya.

Beliau gembira dengan kejayaannya setakat ini setelah dibimbing oleh jurulatih di akademi itu enam kali seminggu bersama belia lain.

Peserta yang menduduki tempat kedua dalam kejohanan itu ialah Dzakri Bohari dengan 44.33 mata manakala Muhammad Zahhar Shamsul Anuar ketiga dengan 40.00 mata.

Sementara itu, peluncur Australia berusia 18 tahun, Harley Clifford muncul juara bagi kategori profesional lelaki. Naib juara disandang Andrew Adkinson dari Amerika Syarikat sementara Steel Laferty juga dari Amerika Syarikat menduduki tempat ketiga.

Kategori profesional wanita pula, peluncur Amerika Syarikat, Raimi Merrit seperti dijangka muncul juara setelah mengalahkan enam peserta lain pada pusingan akhir. Naib juara ialah Amber Wing dari Australia sementara peluncur Jepun, Miku Asai menduduki tempat ketiga.

“Ia suatu pengalaman menakjubkan bagi saya di Kuching minggu ini dan orang ramai sangat memberi sokongan dan saingan juga sangat sengit,” katanya selepas memenangi kejuaraan itu.

Amber yang mana disifatkan Raimi sebagai lawan yang dihormati, berkata bahawa belia memandang ke hadapan di pertandingan Piala Dunia di China pada minggu ini di mana beliau menaruh harapan untuk mengalahkan Raimi. — Bernama