Abang Johari pelawa atlet sukan air kembali ke S’wak

0

IKHLAS UNTUK ANDA: Ritschard menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari sebagai tanda kenangan pada majlis tersebut.

KUCHING: Menteri Pelancongan dan Warisan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mempelawa atlet-atlet sukan air luar negara agar kembali ke Sarawak tahun depan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengalu-alukan anda semua untuk kembali dan menyertai acara tahun depan dan saya boleh jamin, bahawa kita (kerajaan) akan mengadakan regata yang lebih meriah berbanding tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyampaikan hadiah Piala Wakeboard dan majlis penghargaan Regata Sarawak di sini, malam kelmarin..

Hadir sama, Presiden Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF) Kuno Ritschard.

Abang Johari juga mahu atlet-atlet tersebut menggunakan tasik dan sungai di Sarawak sebagai medan latihan meluncur atau wakeboard.

Justeru, beliau mahu keindahan air di negeri ini yang setanding dengan di negara lain dimanfaatkan dan digunakan sepenuhnya.

“Sarawak diberkati dengan banyak sungai yang boleh menjadi tempat untuk orang tempatan mahupun orang asing berlatih meluncur atau wakeboard,” katanya.

Sementara itu, Ritschard melahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri.

“Kita harap untuk dapat kembali ke Sarawak lagi pada masa depan,” katanya.