Thursday, February 2

Harapan S’wak musnah!

0

SENGIT: Pemain Kelantan S. Chanturu (kiri) cuba melepasi benteng pertahanan Sarawak pada perlawanan Piala Malaysia di antara pasukan Kelantan dan Sarawak di Stadium Muhammad IV, Kelantan, malam kelmarin. — Gambar Bernama

Pemain hilang konsentrasi saat akhir tatkala kena belasah Kelantan

KUCHING: Harapan Sarawak untuk mara ke suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini ‘musnah’ tatkala tewas teruk 4-0 dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan malam kelmarin.

Sarawak yang mampu bertahan sehingga 80 minit perlawanan, tiba-tiba dikejutkan dengan empat jaringan Kelantan dalam tempoh lapan minit.

“Pasukan kita tampak mampu bertahan sehingga 80 minit perlawanan… dan kita mampu membawa pulang satu mata (seri) atau menang sekiranya kita mampu melakukannya.

“Namun, sebaliknya yang berlaku apabila kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh pemain-pemain pada saat-saat akhir perlawanan,” kata penolong jurulatih Sarawak, Mohd Farhan Abdullah ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Farhan, pemain-pemain telah beraksi dengan baik dalam babak pertama dan mampu mengekang asakan pasukan tuan rumah, Kelantan.

Bagaimanapun, sehingga 30 minit babak kedua persembahan skuad skuad negeri agak goyah dan menyaksikan Kelantan rakus melakukan serangan.

“Justeru, kekalahan itu ternyata melenyapkan impian kita untuk memburu slot ke suku akhir Piala Malaysia  pada musim ini,” katanya.

Mohd Farhan menarik perhatian meskipun gagal menumpaskan pasukan tuan rumah, namun beliau berharap para pemain terutamanya pemain-pemain muda dapat mempelajari serta menimba pengalaman sebaik mungkin daripada pasukan kuat seperti Kelantan.

“Kita yakin pemain-pemain akan mampu mempertingkat persembahan mereka ketika menentang pasukan-pasukan gagah untuk persiapan mereka menghadapi Liga Super musim depan,” katanya.

Dalam saingan itu, Kelantan meledakkan gol pertama menerusi ‘skipper’ Mohd Badri Mohd Radzi pada minit ke-82.

Selang lima minit selepas itu, giliran pemain kebangsaan — Norshahrul Idlan Talaha menjadi ‘wira’ Kelantan menjaringkan gol kedua.

Malang terus menghantui Sarawak apabila seminit selepas itu, Kelantan memperolehi gol ketiga menerusi Danial Fadly Abdullah dan gol keempat diledakkan oleh Mohd Badri pada minit terakhir.

Setelah beraksi dalam empat perlawanan, Sarawak kini menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan C.

Sarawak akan meneruskan perjuangan mereka dalam saingan Piala Malaysia 2011 menentang Felda United di gelanggang sendiri, Stadium Negeri Petra Jaya pada Sabtu ini (24 September), jam 8.15 malam.

Mereka akan menamatkan misi sekali mengucapkan ‘selamat tinggal’ Piala Malaysia 2011 menentang Johor FC di Stadium Pasir Gudang, Johor pada Selasa depan (27 September).