Lima sektor dipamer pada pameran sempena Hari Wanita, 8 Oktober

0

FATIMAH

KUCHING: Lima sektor akan dipamerkan pada pame-ran sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri 2011 pada 8 Oktober depan.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata lima sektor itu ialah (semangat) 1Malaysia, Usahawan, Kesihatan dan Kecantikan, Kemahiran serta Perkhidmatan Sokongan Sosial dan Kegiatan NGO (pertubuhan bukan kerajaan).

Bercakap pada sidang media di sini semalam beliau memberitahu, sektor-sektor berkenaan dipilih kerana ia selaras dengan tema Hari Wanita kali ini iaitu ‘Wanita Penjalin Perpaduan’.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri agensi-agensi terlibat dalam penganjuran hari yang mengiktiraf sumbangan wanita itu.

Beliau memberitahu bahawa pameran kali ini akan menyediakan 30 gerai pameran dan dibuka kepada orang ramai seawal jam 8 pagi hingga 3 petang di lokasi utama sambutan iaitu Stadium Perpaduan, Kuching.

“Ini adalah satu pameran yang mesti dikunjungi oleh para jemputan kita khususnya wanita daripada pelbagai lapisan umur, kaum dan profesion serta latar belakang sosial kerana ia mempamerkan banyak maklumat berguna kepada wanita.

“Sektor kesihatan dan kecantikan misalnya, pengunjung akan dimaklumkan mengenai pemakanan sihat, makanan tambahan, saringan kesihatan dan kembara kaunseling, urut refleksologi, demonstrasi solekan, andaman rambut dan kecantikan kulit termasuk demonstrasi pemakaian tudung,” katanya.

Fatimah yang juga pengerusi Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) menambah, bagi wanita yang mahu menceburi bidang keusahawanan pula mereka boleh mengunjungi gerai sektor usahawan yang disertai beberapa agensi antaranya Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Kraftangan dan Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera.

Sementara itu katanya, acara kemuncak sambutan kali ini ialah penyampaian tiga anugerah iaitu Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib untuk tokoh wanita selain anugerah Usahawanita Berjaya dan Penggiat Sosial.

Sambutan kali ini juga katanya, dijangka lebih meriah dan bermakna kerana sekitar 4,000 jemputan dijangka hadir selain kenduri perpaduan akan diadakan di pekarangan stadium perpaduan.

“Selain berkenduri, para jemputan akan dihiburkan oleh persembahan gendang Melayu, disertai pertunjukan muzik dan nyanyian moden daripada agensi-agensi terlibat,” katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa pengunjung berpeluang mengenali wajah-wajah wanita yang terlibat dalam membuat keputusan di negeri ini dengan wajah-wajah wanita berkenaan akan dirakamkan dalam bentuk panji dan dipamerkan.

“Panji-panji ini nanti akan disimpan di dalam galeri pameran di Biro Wanita untuk rujukan.

“Besar harapan saya mahu melihat sambutan Hari Wanita kali ini akan dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat terutama golongan wanita di negeri ini,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengarah Biro Wanita Norjanah Razali dan ahli-ahli jawatankuasa MWKS.