Patuhi piawaian dalam 8 bulan

0

PERIKSA: Lawrence (dua kiri) sedang bertanya sesuatu kepada pekerja warga China ketika memeriksa salah sebuah pusat urut dan refleksologi di bandar raya Miri petang semalam.

MBM tarik balik lesen perniagaan pusat urut yang ingkar arahan

MIRI: Semua pengusaha pusat urut dan refleksologi di bandar raya ini diberikan tempoh lapan bulan lagi untuk mematuhi semua piawaian lesen yang dikeluarkan pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) atau berdepan tindakan lesen ditarik balik.

Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai Yew Son berkata pihak MBM telah memberikan satu tempoh masa yang panjang iaitu tiga tahun berkuat kuasa Mei 2009 hingga Mei 2012 untuk semua pengusaha pusat urut dan refleksologi di bandar raya Miri mematuhi semua peraturan yang disyaratkan dalam pemberian lesen premis.

“Ini bermakna mereka hanya ada tempoh lapan bulan lagi dari sekarang untuk mematuhi piawaian lesen yang diberikan. Jika ingkar, pihak MBM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik lesen premis,” katanya.

“Justeru tiada alasan untuk pengusaha premis terbabit tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan atau memohon tempoh tersebut dilanjutkan memandangkan tempoh tiga tahun yang diberikan selama ini amat memadai,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa membuat pemeriksaan ke 12 buah pusat urut dan refleksologi di sekitar bandar raya Miri di sini petang semalam.

Dalam pada itu menurut Lawrence, antara peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi pengusaha pusat terbabit adalah pintu bilik (urut) hendaklah menggunakan daun pintu dengan satu perempat daripada bahagian pintu tersebut dipasang cermin telus pandang serta tidak berkunci sama ada dari luar atau dalam. Manakala dinding pembahagi ruang mesti mempunyai bukaan dua kaki dari paras siling.

“Selain membina dinding, pengusaha juga boleh menggunakan tirai sebagai dinding pemisah antara ruang (bilik) urut,” ujarnya.

Katanya, selain mengelakkan kegiatan tidak bermoral dilakukan di pusat -pusat itu, peraturan sedemikian juga ditetapkan untuk tujuan keselamatan sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan.

Sementara itu katanya, pemeriksaan seumpama ini yang dilakukan pihak MBM sejak minggu lepas bukannya pemeriksaan mengejut tetapi lebih bersifat pemantauan untuk memastikan semua pusat beroperasi dengan sah dan mencakupi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Ini termasuk pengusaha premis memiliki lesen perniagaan sah, para pekerja terutama warga asing memiliki pasport dan permit kerja serta menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui status kesihatan mereka.

“Setakat ini, terdapat 78 pusat urut dan refleksologi yang berdaftar di sini. Daripada jumlah itu, 31 pusat telah kita periksa dalam tempoh tiga hari pada minggu lepas dan diharap bakinya termasuk 15 premis yang diperiksa hari ini dapat disiapkan (diperiksa) sehingga Khamis ini,” ujar beliau.

Menurut Lawrence, pemeriksaan kali ini turut meliputi beberapa pusat yang masih beroperasi tanpa lesen.

“Bagi yang masih belum memiliki lesen, kita mengarahkan mereka segera mendapatkannya. Jangan ingat, bila mereka tidak berdaftar dengan MBM, mereka boleh berbuat sesuka hati tanpa perlu mematuhi peraturan sedia ada,” tambahnya.

Beliau juga menambah kata sejak dibekukan 1 Ogos lalu, tiada sebarang lesen untuk pembukaan pusat urut dan refleksologi baru dikeluarkan sehingga kini.

Justeru beliau berharap orang awam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meragui status pengoperasian sesebuah pusat urut dan refleksologi di bandar raya ini, boleh tampil membuat aduan atau maklumkan kepada MBM bagi membolehkan pihaknya membuat pemantauan.

Dalam pada itu, Lawrence amat mengalu-alukan cadangan para pengusaha pusat urut dan refleksologi di sini yang ingin menubuhkan sebuah persatuan.

“Kita amat mengalu-alukan cadangan itu kerana bila ada persatuan, ia akan memudahkan kita berurusan dengan mereka tanpa perlu pergi dari satu permis ke satu premis untuk memberitahu sesuatu perkara seperti yang kita lakukan sekarang,” katanya.