Thursday, June 8

Agihan kerusi secara adil

0

SALAM AIDILFITRI...Musa bersalaman dengan sebahagian kakitangan JKM yang menghadiri majlis berkenaan.

Jaminan Musa kepada semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman memberi jaminan akan mengagihkan kerusi secara adil dan saksama untuk semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata yang penting setiap parti dan calon yang bertanding boleh membawa kejayaan dan kemenangan mutlak seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu calon pasti menang.

Katanya, semua parti mempunyai tanggungjawab dan cita-cita masing-masing untuk bertanding seberapa banyak yang boleh.

“Namun kita dalam Barisan Nasional (BN) sentiasa akan berbincang perkara yang terbaik untuk semua pihak, yang penting apabila keputusan sudah dicapai, kita akan kemukakannya kepada Perdana Menteri untuk perbincangan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Ketua Menteri di sini kelmarin.

Perbincangan lanjut akan diadakan mengenai pengagihan kerusi, katanya, apabila ditanya sama ada parti Gerakan mempunyai peluang bertanding di negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 berikutan kemasukan beberapa ahli politik berpengalaman yang turut memegang jawatan penting dalam Kabinet Negeri ketika ini.

Musa yang juga Pengerusi BN Negeri berkata bukan senang untuk menjadi seorang calon pasti menang kerana peranan yang dimainkan oleh calon itu haruslah bekerja keras dan berkomitmen tinggi terhadap rakyat serta kerajaan.

Selain itu, calon itu juga perlu banyak bekerja supaya rakyat nampak kerajaan sentiasa kominted terhadap tanggungjawab yang diberikan.

Musa menyeru supaya seseorang calon itu tidak berwatakan hanya banyak bercakap dan kurang bekerja agar rakyat boleh menilai wakil itu sama ada dia baik dijadikan wakil rakyat atau tidak.

Beliau turut menasihatkan semua rakan dalam komponen BN termasuk Umno supaya sentiasa bekerja keras dan menyiapkan program atau projek yang sudah dirancangkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Ia penting bagi mencapai sasaran yang dikehendaki kerajaan serta dapat memenuhi kehendak rakyat,” katanya.