Bapa terima 19 jahitan dibelasah anak tiri

1

PENAMPANG: Seorang bapa yang cuba meleraikan pergaduhan dua anak tirinya, terpaksa menerima 19 jahitan di dahi apabila dibelasah salah seorang anaknya menggunakan batang besi dalam kejadian di Kampung Petagas, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang berusia 53 tahun parah di muka dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama empat hari akibat kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh berkata sebaik menerima laporan itu, pihak polis bergegas ke rumah mangsa namun gagal menemui suspek yang dipercayai sudah melarikan diri.

“Polis masih menjalankan siasatan termasuk mengesan lokasi suspek yang tidak pulang ke rumah selepas kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Beliau berkata, siasatan lanjut polis mendapati kejadian berpunca daripada anak tirinya yang sering mabuk apabila pulang ke rumah.

“Adik tiri yang bosan kemudian menegur suspek menyebabkan lelaki terbabit berang. Mereka akhirnya bertumbuk sesama sendiri sebelum mangsa campur tangan cuba meleraikan pergaduhan itu.

“Bagaimanapun, suspek yang tidak berpuas hati mengejar dan memukul ayahnya mengunakan batang besi hingga terpaksa menerima 19 jahitan,” katanya.

Ratan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat mendatangkan kecederaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta memaklumkan kepada polis untuk membantu siasatan,” tambahnya.